Jumaat, 24 Mac 2017

Peluang emas pada Nicol-Beng Hee



ARKIB : 22/07/2002
MALAYSIA berpeluang cerah untuk memenangi pingat pertama daripada skuasy pada Sukan Komanwel apabila pasangan Ong Beng Hee-Nicol David diletak sebagai pilihan kedua beregu campuran yang diumumkan di Manchester, semalam.

Beng Hee-Nicol, yang merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Beregu Jemputan Dunia di Manchester April lalu berada di belakang beregu tuan rumah, Chris Walker-Fiona Geaves.

Pasangan utama Australia, Paul Price-Sarah Fitz-Gerald diletak sebagai pilihan ketiga, manakala Paul Johnson-Stephanie Brind dari England pilihan keempat.

Australia mengetuai senarai pilihan bagi dua lagi acara beregu - lelaki dan wanita dengan David Palmer-Price berada di kedudukan teratas lelaki dan Rachael-Natalie Grinham wanita.

Ini merupakan kali pertama beregu campuran dipertandingkan pada Sukan Komanwel dan pasangan negara berpeluang pulang bersama pingat selepas mempamer persembahan cemerlang pada kejohanan dunia.

Dalam kejohanan tersebut, Beng Hee-Nicol mengejutkan pilihan pertama, Price-Fitz-Gerald 16-17, 15-9, 17-14 untuk meraih gangsa.

Acara skuasy temasya XVII akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional, Manchester dengan menawarkan lima pingat emas - perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Dalam perkembangan berkaitan, pemain nombor satu dunia, Fitz-Gerald berazam untuk menjadi pemain pertama merangkul tiga pingat emas daripada satu temasya.

Fitz-Gerald, juara dunia empat kali merupakan pilihan utama untuk menjuara acara perseorangan.

Bagaimanapun dia turut mengintai peluang menjuarai beregu wanica bersama Liz Irving dan beregu campuran bersama Paul Price. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cEkjAJUM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan