ARKIB : 19/07/2001
Tricia Chuah (belakang)
memerhatikan lawannya, Manuela Zehnder berusaha membalas pukulan pada aksi
pusingan keempat Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia ke-9 di Pusat Skuasy
Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar, semalam.
Oleh DALLIA DUNSTAN
JUARA remaja Asia dan Dunia,
Nicol David dan Tricia Chuah berjaya melayakkan diri ke perlawanan suku akhir
acara perseorangan Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia ke-9 di Pusat Skuasy
Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar, hari ini.
Nicol yang merupakan pilihan pertama
kejohanan itu tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pilihan ke 9/16,
Tina Rix dari England dengan 9-1,9-1,9-1 dalam masa 12 minit sahaja.
Pukulan yang dibuat puteri
skuasy negara itu terlalu tajam dan pantas untuk dikembalikan oleh pemain nombor
empat pasukan England itu dalam mengutip mata demi mata sekali gus memenangi
ketiga-tiga set pada pertemuan kali pertama mereka.
Nicol berkata, tiada sebarang
strategi yang istimewa digunakan dalam permainannya menentang lawannya itu hari
ini (semalam) dan hanya bermain corak permainan yang biasa sahaja.
``Saya hanya memberikan tekanan
kepadanya dan mengawal gelanggang serta melakukan pukulan yang tajam ke
belakang gelanggang dan ternyata strategi ini berkesan,'' katanya ketika
ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, seorang lagi
pemain negara, Tricia terpaksa berhempas pulas untuk melayakkan diri ke
pusingan seterusnya selepas mengalahkan pemain Switzerland, Manuela Zehnder
dengan empat set, 4-9, 9-1, 9-0, 9-6.
Tricia yang merupakan pilihan
keempat kejohanan itu mencemaskan penonton apabila tewas pada set pertama
kepada Zehnder yang merupakan juara bawah 17 tahun Kejohanan Remaja British
sebanyak dua kali itu selepas ketinggalan dalam sebahagian besar set pertama.
Bagaimanapun, Tricia tidak
membiarkan kekalahannya pada set pertama memberi kesan ke atas permainannya
pada set kedua dan dia bangkit untuk mendahului Zehnder dengan mata 4-1 dan
Zehnder yang ternyata agak tertekan kerana pukulan-pukulannya kerap tidak
menjadi dan terkeluar.
Ini memberikan mata-mata mudah
kepada pemain berasal dari Kuala Lumpur itu dan sekali gus memberikan
kemenangan selesa kepadanya dalam set kedua mengatasi Zehnder dengan 9-1.
Pada set ketiga dan keempat,
Zehnder yang merupakan pilihan ke 9/16 kejohanan ternyata gagal untuk
menghalang kemaraan Tricia dan akur dengan kehebatannya untuk memberikan
kemenangan 9-4 dan 9-6 pada kedua-dua set itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhRQYZsG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan