ARKIB : 04/02/2002
NICOL David muncul juara
Terbuka Kuala Lumpur 2002 selepas menundukkan Ellen Petersen dari Denmark 9-2,
9-7, 8-10, 9-4. - Gambar Shamsul Ariffin Che Omar.
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
RATU skuasy negara, Nicol David
merangkul gelaran pertamanya pada 2002 apabila muncul juara Terbuka Kuala
Lumpur di Pusat Skuasy Majlis Sukan Negara, Jalan Duta semalam.
Bagaimanapun hasrat Malaysia
untuk muncul juara berganda tidak kesampaian apabila bekas juara, Kenneth Low
tewas kepada pemain Australia, Mike Corren dalam perseorangan lelaki.
Pilihan utama dan juara 2000,
Nicol mengambil masa 55 minit untuk menewaskan pilihan kedua dari Denmark,
Ellen Petersen 9-2, 9-7, 8-10, 9-4.
Kenneth, pilihan kedua dan
juara pertama kejohanan pada 1999 pula terpaksa akur dengan kekalahan set terus
kepada pilihan pertama, Corren 6-15, 11-15, 9-14.
``Ini merupakan permulaan yang
baik buat saya terutama dalam usaha memperbaiki ranking Wispa (Persatuan Skuasy
Profesional Wanita Antarabangsa,'' kata Nicol, yang meletakkan sasaran
menduduki 10 ranking terbaik dunia menjelang hujung 2002.
``Begitupun saya masih belum
berpuas hati 100 peratus, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika
mahu berjaya dalam kejohanan lain,'' katanya lagi, yang berharap untuk
melangkah ke suku akhir Sukan Komanwel 2002 di Manchester, September ini.
Dalam perlawanan semalam, juara
remaja dunia itu bermula baik apabila hanya memerlukan sembilan minit untuk
menewaskan Petersen 9-2.
Biarpun bermula selesa dengan
mendahului 4-0 pada set kedua, Nicol membenarkan Petersen menyamakan kedudukan
4-4 dengan kerap memukul bola ke bawah, tetapi bernasib baik kerana menang 9-7.
Pemain nombor 16 dunia itu
hilang kosentrasi pada awal set ketiga dan kesilapan terlalu banyak memukul
bola di bawah garisan memaksa dia ketinggalan 1-6, sebelum tewas 8-10.
Nicol bagaimanapun bangkit
dengan permainan yang lebih baik pada set terakhir, mengutip mata pertama set
dan menang 9-4.
Sementara itu, Kenneth yang
tidak pernah mengalahkan Corren ketika kedua-dua pemain menjalani latihan
bersama di Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu, masih gagal menyaingi pemain
Australia itu.
Selepas tewas 6-15 pada set
pembukaan, Kenneth ketinggalan sepanjang permainan set kedua sebelum kalah
11-15.
Dia juga ketinggalan di
sepanjang set ketiga, termasuk 0-5. Biar pun berusaha bangkit dengan merapatkan
kedudukan 6-7, Corren akhirnya menang perlawanan dengan 15-12.
Kejuaraan membolehkan Corren
membawa pulang AS$1,140 (RM4,332), manakala Kenneth menerima AS$780 (RM2,964).
Nicol pula meraih hadiah
kemenangan AS$1,000 (RM3,800) selaku juara wanita dan Petersen menerima RM700
(RM2,590).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4breDmkNS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan