ARKIB : 11/08/2001
JUARA skuasy remaja wanita
dunia, Nicol Ann David menerima hadiah kemenangan Skim Galakan Atlet Remaja
(Shakar) tertinggi iaitu RM54,375 berikutan kejayaannya pada Kejohanan Skuasy
Remaja Wanita Dunia di Pulau Pinang, bulan lalu, lapor YURI AZHAR MAZLAN.
Selain Nicol, turut menerima
hadiah kedua tertinggi ialah seorang lagi ratu skuasy, Tricia Chuah Huei Ming
yang menerima keseluruhannya berjumlah RM20,875.
Manakala pemain boling negara,
Mark Choong Yee yang meraih pingat emas dalam acara All Event, beregu dan
berpasukan pada Kejohanan Boling Remaja Asia FIQ di Dubai, bulan lalu turut
menerima RM13,125.
Sementara seorang lagi pemain
boling, Zulmazran Zulkifli turut menerima hadiah ini hasil pingat emas lelaki
All Event dan pingat perak berpasukan yang dimenangi pada kejohanan itu.
Dia menerima RM9,500 selepas
turut memenangi satu pingat gangsa yang diperoleh dalam acara beregu.
Semua hadiah itu disampaikan
oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein di Majlis Sukan
Negara, Bukit Jalil, semalam.
Bagi kategori persatuan pula,
Persatuan Skuasy Malaysia merupakan penerima terbanyak Skim Galakan Jurulatih
(Sgar) dan Skim Kecemerlangan Sukan (Sikap) dengan jumlah keseluruhannya
RM30,150.
Sementara Kongres Tenpin Boling
Malaysia (MTBC) pula menerima hadiah kedua tertinggi dalam kategori ini iaitu
sebanyak RM11,400.
Penerima hadiah dalam kategori
persatuan ini ialah Persatuan Menembak Kebangsaan (RM3,975), Kesatuan Olahraga
Amatur Malaysia (RM3,000), Persatuan Badminton Malaysia (RM2,250), Persekutuan
Angkat Berat Malaysia (RM4,500), Persatuan Bola Jaring Malaysia (RM1,800),
Persatuan Pelayaran Malaysia (RM1,500) dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan
Malaysia (RM1,200).
Sementara itu, Hishammuddin
berkata, skim hadiah kemenangan (Shakam) ini telah diperkenalkan pada tahun
1986 sebagai insentif kepada atlet negara yang menunjukkan pencapaian cemerlang
pada kejohanan antarabangsa.
``Jumlah pembayaran skim itu
turut dinaikkan sebanyak RM5,000 kepada atlet negara yang berjaya membawa
pulang pingat pada temasya Sukan SEA XXI Kuala Lumpur,'' katanya.
Tambah beliau, mana-mana atlet
negara yang berjaya membawa pulang pingat emas pada kejohanan dunia atau
Olimpik akan menerima hadiah galakan sebanyak RM160,000, manakala penyumbang
pingat emas di Sukan Asia dan Sukan Komanwel bakal menerima RM80,000.
Sukan Asia akan dilangsungkan
di Pusan, Korea Selatan dan Sukan Komanwel diadakan di Manchester. Kedua-duanya
berlangsung tahun hadapan.
Pada majlis itu, seramai 78
atlet dari 11 persatuan menerima habuan masing-masing yang keseluruhannya
berjumlah RM273,767.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bi6UXJdM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan