ARKIB : 02/02/2002
DUA bekas juara, Kenneth Low
dan Nicol David, kedua-duanya dari Malaysia, mara ke separuh akhir kejohanan
skuasy Terbuka Kuala Lumpur dengan gaya berbeza di Pusat Skuasy Majlis Sukan
Negara di Jalan Duta, di Kuala Lumpur, semalam.
Low, yang diletakkan sebagai
pilihan kedua lelaki, terpaksa berhempas-pulas selama 30 minit sebelum
mengatasi Romain Tenant dari Perancis pada suku akhir 17-15, 15-14, 15-9.
Manakala Nicol, pilihan pertama
wanita, cuma perlu 25 minit sahaja untuk mengatasi pemain Hong Kong, Christina
Mak 9-3, 9-1, 9-0 untuk menempah tempat ke separuh akhir bertemu pemain bukan
pilihan Jenny Duncalf dari England.
Low, pemenang pertama kejohanan
ini pada 1999, akan bertemu pemain pusingan kelayakan, Marcus Smith dari
Australia yang mengejutkan rakan senegara Mark Price, yang juga pilihan kelima,
15-10, 15-11, 15-11 pada suku akhir.
Satu lagi perlawanan separuh
akhir ialah antara pilihan pertama Mike Corren dari Australia dan pilihan
ketiga Christian Drakenberg dari Sweden.
Corren mencatat kemenangan
terus ke atas rakan senegara Tony James 15-6, 17-14, 15-12 manakala Drakenberg
terpaksa berjuang dalam permainan rubber untuk menewaskan pemain Mesir Hisham
Mohammed 11-15, 15-7, 15-10, 7-15, 15-12 dalam masa lebih satu jam.
Dalam acara wanita, Duncalf
akan mengadakan perlawanan ulangan dengan Nicol apabila mengecewakan pilihan
kelapan Karen Morrissey dari Australia 9-6, 9-1, 9-3. Pemain Inggeris ini tewas
dua kali kepada Nicol pada Kejohanan Remaja Dunia di Pulau Pinang tahun lepas.
``Saya tahu corak permainannya
kerana saya memenangi perlawanan perseorangan dan berpasukan dengannya pada
Kejohanan Remaja Dunia tahun lepas. Saya bersedia mengalahkannya lagi kali
ini,'' kata Nicol, pemain ranking ke-16 dunia.
Satu lagi perlawanan separuh
akhir ialah antara pilihan kedua Ellen Petersen dari Denmark dan pilihan
ketujuh Vicky Lankester dari England. Petersen menewaskan Louise Crome dari New
Zealand 9-7, 9-10, 9-3, 9-4 manakala Lankester mengalahkan rakan senegara
Dominique Lloyd-Walter 9-5, 7-9, 10-8, 9-5. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4br9NcO4G
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan