Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia catat kemenangan kedua


 

ARKIB : 24/07/2001
Malaysia catat kemenangan kedua
BARISAN pemain negara (dari kanan), Nicol David, Tricia Chua, Sally Looi dan Teng Ooi Ean meraikan kejayaan menundukkan New Zealand 3-0 pada peringkat kumpulan Kejohanan Skuasy Remaja Dunia Wanita di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar semalam.

MALAYSIA muncul juara kumpulan A selepas mencatatkan kemenangan kedua menentang New Zealand dengan 3-0 pada acara berpasukan Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia Ke-9 di Pusat Skuasy Antarabangsa, Bukit Dumbar Pulau Pinang semalam.

Pasukan negara yang merehatkan pemain nombor tiga, Teng Ooi Ean dan menurunkan pemain nombor empat negara, Sally Looi tidak menghadapi cabaran untuk mengalahkan pasukan negara Kiwi itu.

Mata pertama dikutip oleh puteri skuasy negara, Nicol David selepas menang mudah ke atas pemain pertama New Zealand, Kylie Lindsay dengan 9-1, 9-5, 9-0.

Kemenangan Nicol dituruti oleh kejayaan Sally Looi yang menewaskan Larissa Stephenson, 9-4, 10-9, 9-6, 9-5 dalam masa 22 minit.

Mata ketiga negara diperoleh menerusi pemain nombor dua negara, Tricia Chuah selepas dia mengecewakan pemain nombor dua New Zealand, Jaclyn Hawkes dengan 9-7,9-0,9-4 untuk melengkapkan kemenangan pasukan negara.

Ketika ditemui selepas perlawanan, ketua jurulatih kebangsaan, Mejar (B) S. Maniam berkata, Malaysia kini mempunyai kekuatan dalam dua pemain remajanya, Sally dan Teng kerana kedua-dua pemain itu menunjukkan pretasi yang baik walaupun pertama kali bermain pada kejohanan antarabangsa.

``Teng yang bermain dengan Kanada kelmarin dan Sally hari ini (semalam) menunjukkan mereka mampu bermain di bawah tekanan dan melakukan pukulan yang baik untuk mendapat mata,'' katanya.

Menurut Maniam, pemain kedua negara, Tricia juga sudah membaiki permainannya dalam dua perlawanan ini.

``Saya berasa amat gembira kerana Tricia sudah menunjukkan tanda yang positif pada dua perlawanan ini dan yakin dia mampu memberikan mata ketika pasukan memerlukannya kelak,'' katanya.

Sementara itu, penganjur Persekutuan Skuasy Antarabangsa (WSF) akan melakukan undian menentukan pasukan mana yang akan menentang satu sama lain selepas perlawanan yang terakhir hari ini.

Malaysia tidak akan beraksi pada hari ini selepas muncul juara kumpulan A dengan dua kemenangan ke atas Kanada dan New Zealand.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhbCIRTL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan