ARKIB : 22/07/2001
NICOL Ann David megah menjulang
dulang perak yang dimenanginya selepas menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel
Kawy untuk muncul juara kejohanan Skuasy Remaja Dunia ke-9 di Pusat Sukan
Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Relau semalam. Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.
Oleh DALLIA DUNSTAN
NICOL David melakar sejarah
sebagai atlet negara yang pertama untuk mencipta nama dalam World Guinness Book
of Records berikutan kejayaannya mempertahankan gelaran juara skuasy remaja
wanita dunia.
Pemain berusia 17 tahun yang
memenangi kejuaraan di Antwerp, Belgium dua tahun lalu itu menewaskan Omneya
Abdel Kawy dari Mesir 9-2, 9-4, 9-2 pada perlawanan akhir kejohanan Skuasy
Remaja Dunia ke-9 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di Relau semalam.
Berikutan kejayaan itu, Nicol
menerima hadiah RM5,000 sumbangan Nestle dan dia berpeluang menerima ganjaran
di bawah skim hadiah kemenangan Majlis Sukan Negara (MSN) bernilai RM40,000
kerana memenangi kejohanan bertaraf dunia.
Nicol nyata berada dalam
kelasnya yang tersendiri ketika menewaskan Omneya di hadapan lebih 3,000
penonton dan hanya mengambil masa 19 minit untuk menguburkan impian pemain
tinggi lampai dari Mesir itu.
Sebelum perlawanan bermula,
kedua-dua pemain diarak masuk menggunakan kereta nasional, Proton Perdana V6.
Nicol memulakan permainan
dengan cemerlang pada set pertama menerusi pukulan-pukulan tajam yang
memberikan mata demi mata walaupun terikat 1-1 di awal permainan.
Omneya pula kelihatan gugup dan
tidak dapat memberikan tumpuan. Satu ketika dia ketinggalan jauh 1-7 kepada
juara remaja Asia itu.
Selepas itu, Omneya kelihatan
berpeluang untuk mendapat mata selepas pertukaran servis.
Pada set kedua, Omneya cuba
memperlahankan rentak permainan namun Nicol enggan memberi ruang kepada Omneya.
Bagaimanapun, ketika Nicol
mendahului 5-1, Omneya mengubah corak permainan apabila dia lebih banyak
melakukan pukulan ke hadapan gelanggang dan taktik itu mengelirukan Nicol.
Omney berjaya merapatkan jurang
5-4.
Begitupun ia tidak mengganggu
tumpuan Nicol yang jauh lebih berpengalaman dengan penyertaan pada kejuaraan
profesional untuk membaca muslihat Omneya.
Nicol menamatkan permainan
dengan 9-4 dalam masa tujuh minit sahaja.
Pada set ketiga, kedua-dua
pemain satu ketika terikat 2-2 tetapi Nicol kelihatan tenang dengan melakukan
pukulan-pukulan tajam serta mengelirukan lawan. Nyata Omneya kelihatan letih
dan kurang bersemangat untuk meneruskan cabaran menentang pemain negara itu dan
akhirnya akur apabila Nicol mudah memenanginya dengan 9-2 dalam masa enam minit
sahaja.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhWecYju
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan