ARKIB : 21/07/2001
Oleh DALLIA DUNSTAN
JUARA remaja Asia dan dunia,
Nicol Ann David mara ke perlawanan akhir tetapi rakan senegara, Tricia Chuah
terkandas pada Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia ke-9 yang berlangsung di
Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Relau semalam.
Nicol, 18, kini hanya selangkah
sahaja lagi untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya di Antwerp, Belgium
dua tahun lalu dan menepati ramalan bertemu pilihan kedua, Omneya Abdel Kawy
dari Mesir pada perlawanan akhir hari ini.
Ratu skuasy negara, yang
menduduki ranking ke-25 dunia itu hanya mengambil masa 15 minit untuk
mengetepikan cabaran Jenny Duncalf dari England 9-1, 9-1, 9-3 pada separuh
akhir semalam.
Bagaimanapun Tricia pula
terpaksa akur apabila tewas kepada Omneya, pemain muda Mesir yang tinggi lampai
dan baru berusia 15 tahun itu dengan 3-9, 8-10, 1-9.
Nicol nyata gembira dengan
kejayaannya itu dan berkata dia memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan
itu dengan mempamerkan corak permainan seperti kebiasaannya.
Ini kali keempat Nicol
menewaskan Jenny dan berkata lawannya mungkin tidak dapat menyesuaikan
permainan di dalam gelanggang berkaca.
``Bola pukulannya sering tidak
menjadi dan kerap terkeluar daripada sasaran. Ia tentunya memberikan kelebihan
kepada saya bermain di gelanggang ini,'' katanya.
Mengulas pertemuan menentang
Omneya pada perlawanan akhir hari ini, Nicol berkata, dia tidak mempunyai
strategi tertentu untuk pertemuan itu.
``Segalanya bergantung kepada
nasib dan saya tetap akan berusaha bersungguh-sungguh dengan harapan apa yang
dirancang akan berhasil,'' kata Nicol, yang sudah beberapa kali bertemu pemain
dari Kaherah itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhUbDRLm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan