ARKIB : 29/05/2001
RATU skuasy negara, Nicol David
berpeluang mencatatkan nama dalam Guinness World of Records jika berjaya
mempertahankan gelaran pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2001 di Pulau Pinang
dari 14 hingga 28 Julai ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.
Nicol bakal muncul pemain
wanita remaja pertama di dunia menjuarai kejohanan itu dua kali berturut-turut,
jika mampu mengekalkan gelaran yang dimenangi pertama kali di Antwerp, Belgium
pada 1999.
Begitupun, cabaran pada edisi
kesembilan kejohanan itu agak getir buatnya apabila dijangka berdepan barisan
pemain handalan dunia seperti Omneya Abdel Kawy dari Mesir dan pemain dari
England.
Pemain dari negara kangaroo,
Australia juga dikatakan mampu menggugat kedudukan Nicol.
Kejohanan skuasy remaja dunia
bawah 19 tahun itu akan menyaksikan kira-kira 100 pemain dari 13 buah negara,
termasuk 12 pemain dari Malaysia bersaing merebut piala pusingan Persekutuan
Skuasy Dunia (WSF).
Pengarah Eksekutif Persatuan
Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Lt Kol (B) Wong Ah Jit berkata, antara negara
yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Mesir, England, Australia, Amerika
Syarikat, Jerman, Switzeland, Kanada, Hong Kong, Ireland, New Zealand, India
dan Belanda.
``Dua negara lain yang turut
diundang iaitu Brazil dan Singapura sehingga kini masih belum memberi jawapan
untuk menyertai kejohanan tersebut,'' katanya pada sidang akhbar di Kompleks
Tun Abdul Razak (Komtar) di Pulau Pinang, semalam.
Hadir sama ialah Pengerusi
Jawatankuasa Belia, Sukan, Penerangan dan Perpaduan Negeri, Jahara Abdul Hamid
dan Presiden SRAM, Datuk Nik Mohamed Din.
Menurut Ah Jit, selain Nicol,
Malaysia akan menurunkan pemain pelapis skuad skuasy remaja wanita 2003 sebagai
pendedahan awal dan menguji kemampuan mereka menghadapi kejohanan bertaraf
dunia.
Beliau menambah, pusingan awal
dan suku akhir pertandingan perseorangan yang dijadualkan bermula pada 15
hingga 19 Julai akan diadakan di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, di
Bukit Dumbar, manakala bagi pusingan separuh akhir dan akhir pada 20 dan 12
Julai akan dilangsungkan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di
Relau.
Bagi acara berpasukan, pusingan
awal dan suku akhir bermula pada 22 hingga 24 Julai juga akan diadakan di Pusat
Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar, manakala pusingan separuh akhir
dan akhir pada 27 dan 28 Julai akan dilangsungkan di PISA.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bdudhieJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan