Sabtu, 18 Mac 2017

Kemaraan bersejarah Malaysia


 

ARKIB : 28/07/2001
PASUKAN skuasy remaja negara bergaya dengan Jalur Gemilang selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir menewaskan Mesir pada Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang, semalam.

Oleh DALLIA DUNSTAN
MALAYSIA melayakkan diri ke perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah acara berpasukan selepas menewaskan pencabar Mesir pada Kejohanan Skuasy Remaja Wanita Dunia Ke-9 di Arena Sukan Antarabangsa (PISA), Pulau Pinang, semalam.

Dengan kemenangan Malaysia itu, pasukan negara akan berhadapan juara empat kali, England dalam perlawanan akhir, hari ini.

Malaysia yang diketuai juara remaja dunia dan Asia, Nicol Ann David, Tricia Chuah dan Teng Ooi Ean memastikan kemenangan milik mereka apabila menumpaskan juara bertahan, Mesir dengan 2-1.

Pemain pertama negara, Tricia menewaskan pemain ketiga Mesir, Amnaa El Tarabolsy dengan straight set 2-8, 9-1, 9-0 untuk memperoleh mata pertama pasukan.

Selepas itu, Nicol memastikan pasukan negara melayakkan diri ke perlawanan akhir apabila menewaskan `musuh ketatnya', Omneya Abdel Kawy dengan 9-0, 9-0, 9-4.

Namun, pemain ketiga negara, Teng gagal untuk meneruskan kecemerlangan rakan sepasukannya apabila tewas kepada pemain kedua Mesir, Sara Babr dengan 8-10, 6-9.

Pengurus pasukan negara, Mej. (B) S. Maniam berkata, kedua-dua pemain utamanya, Nicol dan Tricia bermain dengan cemerlang untuk mendapatkan dua mata menewaskan Mesir.

``Ini adalah kali pertama negara melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas gagal melakukannya dua tahun lalu di Belgium dan saya berasa amat gembira kerana berjaya melakukannya di hadapan penonton tempatan dan di negara sendiri,'' katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Tambahnya, mereka meramalkan saingan sengit dengan England esok (hari ini) tetapi tetap yakin pemain-pemainnya akan mencatatkan kejayaan yang diidam-idamkan.

Sebelum itu, dalam satu lagi separuh akhir, England menewaskan pilihan kelima, Amerika Syarikat, 2-1.

Kedua-dua mata England dikutip menerusi pemain pertamanya, Jenny Duncalf dan Laura Jane Lengthorn.

Laura mengetepikan cabaran pemain kedua Amerika Syarikat, Amy Gross, 9-3, 9-0, 9-5.

England memastikan mereka layak ke perlawanan akhir apabila Duncalf mengalahkan Michelle Quibell 9-7, 9-5, 9-5.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat bangkit untuk meraih kemenangan sagu hati apabila Alexandra Pearson menewaskan pemain ketiga England, Alison Waters, 2-9, 9-6, 9-6.

Pengurus pasukan England, David Campion berkata, dia gembira dengan prestasi pemain walaupun menghadapi tekanan.

Katanya, dia berharap akan memberikan saingan sengit kepada Malaysia dalam perlawanan akhir hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhgNlLNw

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan