ARKIB : 27/07/2001
TRICIA Chuah muncul wira
selepas meraih mata kemenangan ke atas Australia untuk memastikan skuad negara
ke perlawanan akhir acara berpasukan pada Kejohanan Skuasy Wanita Remaja Dunia
ke-9 di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar semalam.
Malaysia membuka tirai saingan
suku akhir penuh bergaya apabila ratu skuasy negara, Nicol David menundukkan
Lisa Camilleri dengan 9-1, 9-1, 9-0 untuk mata pertama negara.
Begitupun, Australia bangkit
mengikat kedudukan 1-1 selepas pemain berbadan gempal, Georgina Davis
mengetepikan cabaran Ooi Ean Teng dengan kemenangan 9-5, 4-9, 4-9, 1-9.
Berbekalkan suntikan semangat
oleh kira-kira 500 penyokong sendiri, Tricia akhirnya berjaya memperoleh mata
kemenangan negara dengan menjinakkan Amelia Pittock untuk kemenangan 9-4, 7-9,
9-5, 9-1.
Tekanan dalam set pertama
ternyata amat dirasai oleh kedua-dua pemain apabila mereka terikat mata dua
kali dalam set itu dengan 2-2 dan 3-3.
Bagaimanapun Tricia cuba
bermain rali dan melakukan pukulan-pukulan menggelirukan untuk mengutip mata
demi mata, sekali gus menjarakkan kedudukan hingga 7-3, sebelum menang 9-4.
Pada set kedua, Tricia cuba
untuk beraksi dengan corak perlawanan yang dilakukan pada set pertama tetapi
Amelia berjaya menghidu taktik Tricia dan menguasai permainan dengan 9-7.
Namun pemain kedua negara itu
berjaya memberi saingan terbaik dalam dua set berikutnya dengan 9-5 dan 9-1
untuk memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir hari ini bertemu Mesir
yang mengalahkan pencabar di suku akhir, India dengan 3-0.
Kejayaan skuad negara itu
sekali gus membuka peluang untuk memastikan gelaran berpasukan dunia buat
pertama kali dalam sejarah skuasy di negara ini.
Ketua jurulatih kebangsaan,
Mejar (B) S. Maniam memuji ketabahan anak buahnya untuk mengharungi cabaran
getir suku akhir menentang pilihan keempat, Australia.
``Ini merupakan aksi Tricia
yang paling hebat dalam kejohanan ini dan dia berjaya menyempurnakan
tanggungjawab untuk mendapatkan mata kemenangan bagi pasukan negara,'' katanya.
Ketika mengulas mengenai
pertemuan dengan juara bertahan, Mesir pada separuh akhir hari ini, Maniam
memberi sepenuh kepercayaan kepada pemain-pemainnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhfGip29
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan