ARKIB : 04/05/2002
NICOL (kanan) berjaya melangkah
ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Asia ke-11 selepas menundukkan pemain
Korea Selatan, Lee Hai-Kyung 9-2, 9-6, 9-2 pada separuh akhir di Pusat Skuasy
Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.
JUARA bertahan, Ong Beng Hee
berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir acara perseorangan lelaki selepas
menundukkan rakan senegara, Kenneth Low pada separuh akhir kejohanan Skuasy
Asia ke-11 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Dengan kemenangan ini, Beng Hee
yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan bertemu pemain Pakistan,
Mansoor Zaman yang berjaya menewaskan seorang lagi pemain negara, Mohd. Azlan
Iskandar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir sebelumnya.
Pada pertemuan Beng Hee dan
Kenneth semalam, Beng Hee yang berusaha untuk mempertahankan gelaran yang
dimenanginya di Hong Kong empat tahun lalu menepati ramalan ke perlawanan akhir
selepas mengetepikan cabaran Kenneth dalam lima set, 8-10, 9-0, 5-9, 9-4, 9-0.
Manakala, dalam satu lagi
perlawanan separuh akhir, Mohd Azlan terpaksa akur dengan kehebatan Mansoor
Zaman yang merupakan pilihan kedua kejohanan selepas tunduk dalam lima set 9-6,
10-8, 7-9, 0-9, 1-9.
Azlan yang memenangi dua set
sebelum itu ternyata menunjukkan tanda-tanda keletihan pada set ketiga untuk
memberikan kemenangan mudah kepada Mansoor.
Pada baki dua set penentuan yang
terakhir, Mansoor sudah menyedari keletihan pencabarnya dan mula menguasai
kedua -dua set untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir bertemu Beng Hee.
Sementara itu dalam kategori
wanita, ratu skuasy negara, Nicol David menepati ramalan untuk mara ke
perlawanan akhir.
Nicol yang merupakan pilihan
pertama kejohanan mudah mengetepikan cabaran lawannya, pemain Korea, Lee Hai-Kyung
pada perlawanan separuh akhir, 9-2, 9-6, 9-2.
Nicol akan bertemu musuh
ketatnya, Rebecca Chiu dari Hong Kong yang diletakkan sebagai pilihan kedua
pada perlawanan akhir hari ini.
Rebecca sebelum itu menundukkan
seorang lagi pemain negara, Sharon Wee, 9-4, 9-1, 7-9, 6-7, 9-3.
Keputusan (Separuh akhir)
LELAKI individu - Ong Beng Hee
(MAS) kln Kenneth Low (MAS) 8-10, 9-0, 5-9, 9-4, 9-0; Mansoor Zaman (PAK) kln
Mohd Azlan Iskandar (MAS) 6-9, 8-10, 9-7, 9-0, 9-1.
WANITA individu - Nicol David
(MAS) kln H.K Lee (KOR) 9-2, 9-6, 9-2; Rebecca Chiu (HKG) kln Sharon Wee (MAS)
9-4, 9-1, 7-9, 6-9, 9-3.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c9StTkrn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan