Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia temu Australia suku akhir

ARKIB : 25/07/2001
Oleh DALLIA DUNSTAN
MALAYSIA menghadapi ujian getir apabila diundi bertemu pilihan keempat, Australia pada suku akhir acara berpasukan Kejohanan Skuasy Wanita Remaja Dunia ke-9 di Pusat Skuasy Antarabangsa Bukit Dumbar, Pulau Pinang esok.

Pasukan negara muncul juara kumpulan A selepas memenangi dua perlawanan menewaskan Kanada dan New Zealand 3-0.

Dalam undian untuk perlawanan suku akhir yang diadakan semalam, Mesir dijadual bertemu India, New Zealand bertemu Amerika Syarikat dan Jerman bertemu England.

Majlis undian itu turut disaksikan oleh Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), Susie Simcock, Pengarah Eksekutif Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Kolonel (B) Wong Ah Jit dan pengurus pasukan serta jurulatih pasukan negara yang bertanding.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam berkata, perlawanan bertemu Australia pada suku akhir dijangka sengit dan menganggap ia satu undian yang baik.

``Walaupun Australia adalah salah sebuah pasukan yang kuat dalam acara berpasukan, saya yakin pemain-pemain negara bersedia menghadapi mereka,'' katanya, semalam.

Dua tahun lalu pada kejohanan yang sama di Antwerp, Belgium pasukan negara yang diketuai oleh juara remaja Asia dan Dunia, Nicol David, bekas juara remaja Asia, Leong Siu Lyn, Cheryl David, Daphne Ting dan Tricia Chuah menduduki tempat ketiga acara berpasukan.

Beliau yakin Malaysia berpeluang untuk mara ke separuh akhir.

Sementara itu, tidak ada perlawanan berlangsung hari ini. Pertandingan disambung semula esok dengan perlawanan-perlawanan suku akhir
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhd7GKLs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan