ARKIB : 06/05/2002
MALAYSIA mencatatkan kemenangan
pertama pada perlawanan pembukaan acara berpasukan lelaki dan wanita kejohanan
Skuasy Asia ke-11 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam,
lapor DALLIA DUNSTAN.
Pasukan lelaki yang diletakkan
dalam kumpulan A diundi bersama-sama India, Kuwait, Korea, Filipina dan Macau
manakala wanita diletakkan dalam kumpulan A diundi bersama Jepun, Singapura dan
Taiwan.
Pasukan lelaki negara yang
diterajui pemain nombor tiga negara, Kenneth Low, Mohd Azlan Iskandar dan Kelvin
Ho berjaya memperoleh kemenangan pertama pasukan negara selepas mereka mudah
menewaskan pasukan Filipina dengan 3-0.
Mata pertama pasukan negara
diperoleh menerusi Mohd Azlan selepas dia mudah mengetepikan cabaran Ricky
Espinola, 9-1, 9-2, 9-1.
Selepas itu, pemain kedua pasukan
negara, Kelvin Ho mengalahkan Robert Carin, 9-2, 9-1, 9-3 manakala mata ketiga
negara diperoleh menerusi Kenneth apabila dia menundukkan Joboy Antipala, 9-4,
9-3, 9-5 untuk memastikan kemenangan milik pasukan negara.
Manakala dalam kategori wanita,
pasukan wanita mengalahkan Taiwan 3-0.
Mata pertama pasukan negara
diperoleh pemain kebangsaan, Sharon Wee yang menundukkan Haung Wei- Ting , 9-1,
9-1, 9-0.
Kemenangan tersebut diikuti oleh
Lim Yoke Wah selepas itu apabila dia menewaskan Pan Keui-Yeh, 9-1, 9-0, 9-0
untuk mendapatkan mata kedua negara.
Selepas itu, Tricia Chua
memastikan kemenangan milik pasukan negara apabila dia menundukkan Pan Li -Ling
dalam straight set, 9-1, 9-0, 9-1.
Pada hari kedua hari ini, pasukan
lelaki akan bertemu Kuwait manakala wanita menentang Jepun.
Pengurus pasukan, Mejar (B) S.
Maniam berkata, semua perlawanan hari ini agak mudah untuk pemain negara
bagaimanapun itu tidak bererti mereka akan mengambil mudah setiap perlawanan
yang akan mereka tempuhi selepas ini.
``Perlawanan hari ini adalah
salah satu daripada persediaan pemanas badan untuk perlawanan-perlawanan yang
lebih mencabar selepas ini,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan
semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9Z0yyS5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan