Khamis, 23 Mac 2017

Sembilan pemain negara mara ke pusingan ketiga



ARKIB : 02/05/2002
LIMA daripada 15 pemain Malaysia dalam acara individu lelaki dan empat dari 12 pemain individu wanita menempah tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Asia ke-11 2002, selepas masing-masing berjaya mengharungi perlawanan pusingan pertama dan kedua pada hari pembukaan kejohanan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, semalam.

Juara bertahan dan pilihan pertama Ong Beng Hee yang menerima bye pada pusingan pertama, mengetuai cabaran Malaysia dalam acara individu lelaki apabila menang mudah 9-1, 9-4, 9-4 ke atas Ricky Espinola dari Filipina dalam pusingan kedua.

Beliau akan bertemu pilihan kesembilan, Faheem Khan dari Hong Kong dalam pusingan ketiga hari ini.

Pemain kedua kebangsaan dan pilihan keempat kejohanan Mohd Azlan Iskandar, yang juga medapat bye pada pusingan pertama menang mudah 9-5, 9-3, 9-3 ke atas pemain India, Bikram Uberoi dalam pusi-ngan kedua.

Kenneth Low juga mara menewaskan Yan Wen Cheng dari Taiwan 9-3, 9-0, 9-0 dalam pusingan pertama dan menewaskan pemain Kuwait Zeyad Tarek 6-9, 9-2, 9-3, 9-3 pada pusingan kedua.

Pemain Malaysia lain yang mara ke pusingan ketiga ialah Kelvin Ho dan Yap Kok Four.

Terdahulu, pada pusingan per-tama individu lelaki, empat pemain Malaysia - Hasnol Hashimi, Tan Tze Hion, Mohamed Shahril dan Mohamed Nafiswan - kecundang kepada lawan masing-masing.

Pemain Malaysia yang kalah pada pusingan kedua ialah Kapil Nesan, Marcus Yeap, Wong Kim Lee dan Mohamed Nafzahizam.

Dalam acara individu wanita, pilihan pertama dan juara bertahan Nicol David yang mendapat bye pusingan pertama mara ke pusingan ketiga menewaskan Anh Eun Chan dari Korea Selatan 9-1, 9-1, 9-1.

Pemain Malaysia lain yang berjaya ke pusingan ketiga ialah Sharon Wee, Tricia Chuah dan Lim Yoke Wah.

Pemain wanita Malaysia yang gagal pada pusingan pertama ialah Azaliana Azasari, Leong Yie Mun, Umi Kalsom, Delia Arnold dan P.Kamini, manakala yang terkandas pada pusingan kedua ialah Siti Munirah Jusof dan Sally Looi.

Pada hari pembukaan semalam menyaksikan empat pemain pilihan kecundang.

Mereka ialah pilihan ke-15, Manish Chotrani dari India, pilihan ke-13 Takehide Hota (Jepun), pilihan ke-12 Kimihiko Sano (Jepun) dan pilihan ke-16 Yoshihiro Watanabe (Jepun). - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c9HQKYnY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan