Isnin, 20 Mac 2017

Nicol mudah mara ke suku akhir

ARKIB : 01/02/2002
BEKAS juara, Nicol David dari Malaysia dengan mudah mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur di Pusat Skuasy Majlis Sukan Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Pemain Pulau Pinang berusia 18 tahun itu, yang juga pilihan pertama kejohanan, cuma memerlukan 21 minit untuk mengenepikan pemain Jepun, Chinatsu Matsui 9-2, 9-2, 9-4 pada aksi pusingan pertama yang menyaksikan tiga lagi pemain Malaysia gagal meneruskan kemaraan.

Pemain nombor dua kebangsaan Sharon Wee, yang juga pilihan ketiga, mememangi permainan pertama menentang Jenny Duncalf dari England 9-6 dan 9-0 tetapi kemudian kehilangan rentak hingga membolehkan pemain Inggeris itu kembali dengan memenangi tiga permainan berikut 9-3, 9-1 dan 9-0.

Sementara itu, Tricia Chuah, pilihan kelima, tewas mengejut kepada pemain New Zealand, Louise Crome 9-10, 5-9, 9-7 dan 1-9.

``Ini baru pusingan awal dan pemain Jepun itu tidak memberikan masalah kepada saya. Saya hanya bermain seperti biasa,'' kata Nicol, yang memenangi kejohanan ini dua tahun lepas, tetapi kalah dalam suku akhir tahun lepas.

Nicol, yang kini menduduki ranking ke-16 dunia, akan bertemu pilihan keenam, Christina Mak dari Hong Kong dalam suku akhir esok. Mak sebelum itu menewaskan pemain Malaysia, Lim Yoke Wah 9-5, 9-1, 9-3.

Seperti Nicol, Kenneth Low juga menjadi pemain tunggal Malaysia dalam bahagian lelaki. Low, bekas juara dan pilihan kedua kejohanan, menewaskan pemain Australia, Paul Davis 15-7, 15-10, 15-10 dan akan bertemu pemain Perancis Roman Tenant dalam suku akhir.

Tiga lagi pemain Malaysia - Timothy Arnold, Kelvin Ho dan Marcus Yeap - gagal melepasi pusingan pertama apabila kalah kepada pemain-pemain pilihan.

Pilihan ketiga Christian Drakenberg dari Sweden mengalahkan Ho 15-12, 11-15, 15-4, 15-9, Arnold tewas kepada pilihan ketujuh Tony James of Australia 12-15, 12-15, 16-17 manakala Yeap kalah kepada pilihan kelima Mark Price dari Australia 2-15, 12-15, 6-15.

Pilihan pertama Mike Corren dari Australia juga mara ke suku akhir menewaskan rakan senegara Nathan L'Huiller 15-5, 15-5, 15-3 dalam masa kurang setengah jam. - Bernama



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4br7poGxv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan