Jumaat, 24 Mac 2017

Nicol dilantik duta muhibah



ARKIB : 11/07/2002
Ketua kontinjen Sukan Komanwel, CY Chin (dua dari kiri) berbual dengan pemain skuasy kebangsaan semasa beliau melawat pusat latihan skuasy di Jalan Duta petang semalam. Turut kelihatan Pemangku Presiden SRAM, Mokhzani Mahathir. - Gambar Aswad Yahya.

JUARA skuasy kebangsaan, Nicol David yang kini menduduki ranking ke-16 dunia dilantik sebagai Duta Muhibbah Kebangsaan Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia yang pertama.

Ketua UNDP di Malaysia, Dr Maxine Olson berkata, Nicol terpilih berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam sukan dan akademik serta imej baiknya di kalangan belia negara ini.

``Peranan Duta Muhibbah Kebangsaan UNDP ialah untuk menyokong mesej UNDP dalam pembangunan di bidang seperti ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan HIV/AIDS.

Nicol dijangka akan mewakili UNDP dalam beberapa acara dan aktiviti istimewa di Malaysia serta bercakap dengan golongan muda mengenai peranan yang mereka boleh mainkan dalam pembangunan.

``Dia juga akan membantu meyakinkan sejumlah khalayak yang semakin ramai, institusi dan perniagaan bagi menyertai peperangan menentang kemiskinan,'' kata Olson dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Nicol akan berkhidmat sebagai duta di bawah program itu bagi tempoh setahun.

Untuk dipilih sebagai Duta Muhibbah, seseorang itu perlu berprofil tinggi, dihormati dan komited, mempunyai pengetahuan mengenai isu pembangunan utama, menonjolkan integriti dan amanah, komitmen kepada kerjasama pembangunan dan antarabangsa, berupaya bercakap dengan jelas serta mampu menjelaskan falsafah dan program UNDP dalam peluang memajukan diri.

Bercakap dalam majlis berkenaan, Nicol berkata dia akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas barunya itu.

``Ini merupakan peluang baik bagi saya untuk memberikan khidmat kepada golongan muda yang kurang bernasib baik dan mendapatkan akses kepada pendidikan mereka, terutamanya mengenai ICT,'' katanya.

Nicol berkata dia akan memastikan masa yang mencukupi bagi proram UNDP dan latihan skuasy.

Dengan pelantikan itu, Nicol menyertai usaha personaliti terkenal dunia lain yang telah berkhidmat sebagai duta muhibbah kebangsaan UNDP di negara masing-masing.

Mereka ialah pemain bola sepak Perancis, Zinedine Zidane dan pemain bola sepak Brazil Ronaldo, pelakon Danny Glover, Misako Kono dari Jepun dan pemenang Hadiah Nobel Nadine Gordimer. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cE4COf54
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan