ARKIB : 20/07/2001
RATU skuasy negara, Nicol Ann
David dan Tricia Chuah mara ke separuh akhir kejohanan Skuasy Wanita remaja
Dunia ke-9 di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar, semalam.
Nicol, yang mendapat jolokan
`Pocket Dynamite' kerana tubuhnya yang kecil selain pukulan-pukulan kencangnya
mengenepikan cabaran pemain Jerman, Kathrin Rohrmuller 9-0, 9-0, 9-3 dalam masa
16 minit sahaja.
Tricia, pilihan keempat
mengambil masa setengah jam ketika mengetepikan saingan pemain bukan pilihan,
Kasey Brown dari Australia 9-3, 9-3, 9-4.
Nicol akan bertemu pemain
pilihan ketiga, Jenny Duncalf dari England sementara Tricia bertemu pilihan
kedua, Omneya Abdel Kawi dari Mesir.
Omneya, pemain tinggi lampai
yang baru berusia 15 tahun turut ke separuh akhir selepas menewaskan Michelle
Quibell dari Amerika Syarikat 10-8, 9-0, 9-2.
Kedua-dua perlawanan separuh
akhir hari ini akan berlangsung di gelanggang kaca Arena Sukan Antarabangsa
Pulau Pinang (PISA), Relau.
Mengulas kejayaannya semalam,
Nicol berkata dia mempunyai kelebihan kerana berjaya memberikan tumpuan dalam permainan
selain melakukan pukulan-pukulan tepat untuk memperoleh mata.
``Bagi saya, apa yang penting
ialah tumpuan yang jitu dan berasa yakin dengan diri sendiri serta tidak
membenarkan sebarang gangguan yang mampu menjejaskan permainan,'' kata Nicol
selepas perlawanan.
Mengenai pertemuan menentang
Duncalf pada separuh akhir hari ini, Nicol meramalkan ia bakal menjadi
pertemuan yang sengit dan menarik.
Nicol berpeluang mencipta nama
dalam Guinness World Book Of Records jika memenangi kejuaraan buat kali kedua
berturut-turut.
Nicol berkata, dia tidak
menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri bermain di gelanggang kaca pada
separuh akhir.
Katanya, kali terakhir dia
bermain di gelanggang itu ialah sewaktu menyertai Terbuka Seattle di Amerika
Syarikat dua bulan lalu.
Tricia pula mengakui
permainannya bertambah baik dalam setiap perlawanan.
``Omneya mempunyai pengalaman
beraksi pada kejohanan-kejohanan yang besar. Ia tentu memberi kelebihan tetapi
saya tidak gementar dan bersedia menghadapinya,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhTrIRwj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan