Sabtu, 28 Oktober 2017

Memang No. 1

RATU skuasy negara, Nicol David meneruskan reputasinya selaku pemain
No. 1 dunia.

Dia hanya memerlukan selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan pertamanya bagi musim 2008 selepas menempah tiket ke perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Apawamis di New York semalam.

Pada aksi separuh akhir semalam, Nicol mudah menundukkan pilihan keempat, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat 9-7, 9-4, 9-5.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang juga naib juara dua tahun lepas itu hanya mengambil masa 35 minit untuk meranapkan impian Grainger.

Menanti pemain No. 1 dunia itu pada perlawanan akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$60,000 (RM204,000) ini ialah pemain Australia, Natalie Grinham.

Kedua-dua pemain itu bakal bertemu buat kali ke-17 sejak November 2003 dan yang pertama untuk musim ini.

Berdasarkan rekod, Nicol menang 10 daripada 16 pertemuan dengan Grinham.

Terdahulu, Grinham yang turun selaku juara bertahan mara selepas menundukkan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy 9-5, 9-4, 9-2 dalam permainan yang hanya mengambil masa 26 minit sahaja

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wo4IPmMm
Hakcipta terpelihara

Isnin, 23 Oktober 2017

Nicol kekal nombor satu



ARKIB : 17/01/2008
KUALA LUMPUR – Ratu Skuasy Malaysia Nicol David kekal sebagai pemain nombor satu dunia untuk tahun ketiga berturut-turut dalam ranking Skuasy Wanita Dunia bagi Januari dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).

Pemain Malaysia berumur 24 tahun yang mula mendahului senarai itu pada Januari 2006 - muncul selaku pemain nombor satu setelah mengumpul 27,515 mata dengan memenangi kejohanan Terbuka KL CIMB, Terbuka Kuwait, Qatar Classic, Terbuka Malaysia CIMB, CIMB Singapore Masters, Terbuka Belanda Feroxx dan Terbuka Hongkong Cathay Pacific.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu beraksi cemerlang tahun lepas dengan memenangi lapan kejuaraan Jelajah Dunia WISPA daripada 10 kemunculan di perlawanan akhir tetapi malangnya gelaran Terbuka Dunia terlepas daripada genggamannya.

Dipilih sebagai Pemain Terbaik WISPA bulan lepas untuk tahun ketiga berturut-turut, Nicol mencatatkan satu lagi sejarah pada penghujung 2007 apabila dipilih sebagai Olahragawati Asia dalam anugerah sulung yang dilancarkan oleh Kesatuan Akhbar Sukan Asia.

Pemain adik-beradik Grinham dari Australia, mengekori rapat di belakang Nicol apabila Natalie yang ditumpaskan Nicol dalam lima pertemuan peringkat akhir tahun lepas, berada di tempat kedua setelah mengumpul 25,465 manakala juara Terbuka British 2007 dan pemenang Terbuka Dunia Rachael di tempat ketiga dengan 21,665 mata.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4wOLNnt9H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Oktober 2017

Nicol buka tirai selaku no. 1



ARKIB : 03/01/2008

KUALA LUMPUR - Gagal mempertahankan Kejuaraan Dunia dan Terbuka Britain pada 2007 tidak menghalang jaguh skuasy negara, Nicol David memulakan musim 2008 selaku pemain nombor satu dunia bagi tahun ketiga berturut-turut.

Nicol, 24, yang dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia dan Olahragawati Asia 2007 selepas merangkul lapan kejuaraan dalam Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) mengatasi dua pemain adik-beradik, Natalie Grinham dan Rachael Grinham dari Australia.

Pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger pula mengekori di ranking keempat, diikuti tiga pemain England, Tania Bailey, Vicky Botwright dan Jenny Duncalf.

Sementara itu, Terbuka Apawamis di New York, Amerika Syarikat pada 1 Februari ini bakal menjadi gelanggang pembuka tirai 2008 bagi Nicol.

Menanti ratu skuasy Malaysia itu yang menamatkan aksi sepanjang 2007 dengan menjuarai Terbuka Hong Kong, November lalu dalam pusingan pertama ialah lawan yang mara daripada kelayakan, sehari sebelumnya.

Nicol, yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bernilai AS$60,000 (RM198,690) itu pernah muncul naib juara pada 2006 selepas dikalahkan oleh bekas musuh ketatnya, Vanessa Atkinson dari Belanda 6-9, 2-9, 10-9, 7-9.

Jika mara ke suku akhir, pemain nombor satu dunia dan pemegang lapan gelaran sepanjang 2007 kelahiran Pulau Pinang ini akan menghadapi pemenang satu lagi pusingan pertama antara dua pemain England, Vicky Botwright dengan Laura Lengthorn-Massaro.

Natalie - antara pemain Australia yang turut dicalonkan di samping kakaknya, Rachael dalam Anugerah Skuasy Dunia anjuran Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) 21 Disember lalu, diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga Terbuka Apawamis.

Turut menyertai kejohanan ini ialah Grainger, Madeline Perry (Ireland), Vanessa, Omneya Abdel Kawy (Mesir), Duncalf, Bailey dan Shelley Kitchen (New Zealand).

Selain Terbuka Hong Kong, Nicol memenangi Terbuka Kuala Lumpur (Mac), Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 (November) sepanjang tahun lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4w4IvrxXb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol Pemain Terbaik Dunia 2007



ARKIB : 23/12/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
Nicol David mencatat rekod cemerlang pada tahun ini.

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David meraih satu lagi pengiktirafan besar antarabangsa dalam tempoh 10 hari apabila dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik WISPA 2007 dalam majlis penyampaian Anugerah Skuasy Dunia di London, England kelmarin.

Nicol, 24, meraih undi terbanyak daripada ahli Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) sekali gus mengatasi pencabar terdekat dan orang yang merampas gelaran Terbuka Britain daripadanya, Rachael Grinham dari Australia di Manchester, England, Oktober lalu.

Sepanjang tahun ini, Nicol sudah mengumpul lapan gelaran antaranya Terbuka Kuala Lumpur (Mac), Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 serta Terbuka Hong Kong (November).

Dua lagi calon pencabar anugerah ini ialah adik Rachael, Natalie Grinham juga dari Australia dan pemain New Zealand, Shelley Kitchen yang mengejutkan Nicol dalam Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol. Amr Shabana dari Mesir pula dipilih sebagai Pemain Terbaik Lelaki 2007.

Anugerah berprestij yang disampaikan di Kelab RAC, Pall Mall merupakan yang kedua milik Nicol selepas dipilih sebagai Olahragawati Terbaik Asia 2007 anjuran Kesatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (ASPU) pada 12 Disember lalu di Kuala Lumpur.

Ia juga kali ketiga berturut-turut gadis kelahiran Pulau Pinang yang juga pemain nombor satu dunia ini bergelar Pemain Terbaik Anugerah Skuasy Dunia. Dia juga pernah mencapai rekod tanpa kalah dalam 50 perlawanan sepanjang tahun ini.

Siri kejayaannya itu cuma dicacatkan oleh kegagalan mempertahankan gelaran Terbuka Britain dan cuma naib juara Terbuka Kota Seoul selain kalah mengejut seawal suku akhir Terbuka Dunia.

Seorang lagi pemain negara, Low Wee Wern bagaimanapun kalah dalam perebutan anugerah Pemain Muda Wanita Terbaik WISPA yang dimenangi oleh Camille Serme dari Perancis. Turut dicalonkan ialah Annie Au (Hong Kong), Heba El Torky (Mesir), dan Maria Toor Pakay (Pakistan).

Shabana, 28, dari Giza, Kaherah, dipilih sebagai Pemain Lelaki Terbaik PSA (Persatuan Skuasy Profesional) atas kejayaannya menjuarai Terbuka Windy City dan Kejohanan Juara-Juara, Antarabangsa Saudi, Klasik Qatar, Terbuka Hong Kong dan Terbuka Dunia

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w3fUOEGv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Nicol sambar gelaran kelapan



ARKIB : 12/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
NICOL David (kanan) dan Amr Shabana menunjukkan trofi kejuaraan skuasy Terbuka Hong Kong masing-masing di Plaza Hollywood, Hong Kong, semalam. Nicol menewaskan Natalie Grinham 3-0.

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David menamatkan aksi tahun ini dengan bergelar juara Terbuka Hong Kong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi, Natalie Grinham dari Australia, semalam.

Dalam perlawanan akhir di Plaza Hollywood, Hong Kong yang berlangsung hampir sejam, Nicol, 24, yang menang 9-3, 9-5, 10-8 turut melebarkan koleksi kejuaraannya kepada lapan sepanjang tahun ini sambil meraih ganjaran selaku juara, AS$12,819 (RM42,597).

Sejak Mac lalu, gadis kelahiran Pulau Pinang menjuarai Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 (November).

Dia turut bergelar naib juara Terbuka Britain di Manchester dan Terbuka Kota Seoul selain kalah mengejut seawal pusingan kedua Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol.

Kemenangan ke atas Natalie, adik Rachael Grinham yang mengecewakannya di Manchester, merupakan kali ke-10 dalam 13 pertemuan sejak 36 bulan lalu dan yang kelima tahun ini selepas di Kuwait, Kuala Lumpur, Doha dan Singapura.

Kata Nicol, “sungguh menarik dapat menang semula seperti mana di Doha (Klasik Qatar), baru-baru ini. Kali ini saya tetap bermain pada tahap terbaik dan memang berharap mencapai kesudahan yang baik dalam kejohanan terakhir tahun ini.

Jelas pemain nombor satu dunia ini, “kemenangan tiga set berterusan tidak memberikan gambaran sebenar suasana perlawanan ini. Tentangan Natalie cukup hebat dan saya hanya berharap untuk terus menang walaupun terpaksa bekerja keras.

“Setiap permainan rali menuntut kepesatan yang tinggi malah kadangkala seperti tidak berkesudahan. Mungkin kerana keinginan tinggi dan kerja keras saya untuk menang tiga set dan menghabiskan segera, mendorong kejayaan ini,” katanya.

Natalie, pilihan kedua kejohanan, menganggap dia sudah cuba mengekang Nicol sedaya upaya tetapi lawan masih menang kerana mempunyai kelebihan dari segi pergerakan pantas dan mampu mengutip setiap hantaran dan pukulannya.

“Titik tolak kekalahan ini ialah dalam set ketiga apabila saya cuba bertukar rentak permainan pantas tetapi tersilap dalam satu permainan rali. Ia cukup mengecewakan saya walaupun keseluruhannya, permainan kami setara.

“Namun saya tidak begitu berharap besar kali ini memandangkan pergelangan tangan saya masih sakit sejak Terbuka Dunia lalu. Saya berpuas hati dapat mara ke perlawanan akhir di Hong Kong walaupun dengan keadaan itu,” katanya.

Sementara itu, pilihan utama kejohanan, Amr Shabana dari Mesir menggondol gelaran lelaki selepas menundukkan pilihan kedua dari Perancis, Gregory Gaultier 11-13, 11-3, 11-6, 13-11 dalam tempoh 61 minit.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vpCxfulJ
© Utusan Melayu (M) Bhd