Jumaat, 30 Jun 2017

Nicol juara Equatorial



 
ARKIB : 06/08/2006
Ads by Kiosked
Nicol juara Equatorial

Oleh NURUL HUDA HASSAN
NICOL David (depan) menewaskan pemain Australia, Rachael Grinham untuk menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Hotel Equatorial Pulau Pinang di Bukit Dumbar, semalam. – Gambar SAZALI CHE DIN.


PULAU PINANG – Ratu skuasy negara, Nicol David merangkul kejuaraan antarabangsa ketiga berturut-turut selepas menjuarai Kejohanan Wanita Terbuka Hotel Equatorial Pulau Pinang semalam, dan tambah manis lagi kemenangan itu dicatatkan di negeri kelahirannya.

Bagi Nicol, yang menundukkan pemain Australia, Rachael Grinham pada perlawanan akhir, kemenangan di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar itu merupakan hadiah paling istimewa buat rakyat Pulau Pinang.

‘‘Saya gembira kerana memenangi tiga kejohanan berturut- turut dan perasaan itu sukar digambarkan lebih-lebih lagi kerana kemenangan dicatatkan di tempat kelahiran saya, Pulau Pinang,’’ kata pemain nombor satu dunia itu sejurus tamat perlawanan.

Nicol, 22, bagaimanapun tidak diberi laluan mudah untuk merangkul kejuaraan apabila dikerah beraksi dalam 55 minit permainan sebelum menundukkan Grinham, 9-5, 9-6, 5-9, 9-3.

Juara dunia itu sebelum ini telah memenangi dua kejohanan terakhir yang disertainya - Terbuka Malaysia dan dan Qatar Airways.

Sejurus tamat perlawanannya, Nicol turut mengumumkan hasrat untuk berehat seketika sebelum kembali memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan gelaran dunia di Kanada, bulan depan.

‘‘Saya akan pulang ke Amsterdam (Belanda) pada 17 atau 18 Ogos ini untuk kembali menjalani latihan bagi menghadapi beberapa kejohanan utama.

‘‘Saya mungkin menyertai Terbuka Britain dan Kanada tetapi buat masa sekarang, saya hanya mahu berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga di sini. Untuk beberapa hari ini saya hanya mahu menikmati masakan Pulau Pinang,’’ kata Nicol, yang juga juara Terbuka Britain.

Kemenangan semalam, yang mengukuhkan lagi kedudukan Nicol di ranking nombor satu dunia turut melayakkannya merangkul hadiah lumayan AS$20,000 (RM72,000).

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Grinham, Nicol berkata, pengalaman yang dimiliki pemain Australia itu berjaya memerangkapnya di set ketiga.

Kata Nicol, bekas pemain nombor satu dunia itu amat memahami corak permainannya memandangkan kedua-dua mereka kerap bertemu pada kejohanan antarabangsa. 
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lTcvnH80
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol semakin hampir



 
ARKIB : 05/08/2006
Ads by Kiosked
Nicol semakin hampir
NICOL David (kiri) tidak menghadapi masalah besar ketika menyingkirkan Rebecca Chiu dari Hong Kong pada separuh akhir skuasy Terbuka Pulau Pinang, semalam. – Gambar SAZALI CHE DIN.

PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Nicol Ann David semakin hampir merangkul gelaran keduanya dalam tempoh seminggu apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Pulau Pinang 2006 di sini, semalam.

Pemain nombor satu dunia, yang baru menjuarai Terbuka Malaysia minggu lalu itu akan bertemu Rachael Grinham dari Australia hari ini.

Nicol mengambil masa 33 minit untuk menewaskan Rebecca Chiu dari Hong Kong 9-2, 9-0, 9-5 pada separuh akhir sementara Rachael pula mengenepikan pemain negara, Sharon Wee 9-4, 9-6, 9-10, 9-1 dalam masa 58 minit.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lTaioQDx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 29 Jun 2017

Nicol menang mudah



ARKIB : 03/08/2006
PULAU PINANG – Ratu skuasy negara, Nicol David menepati ramalan apabila mudah melangkah ke suku akhir Kejohanan Wanita Terbuka Hotel Equatorial Pulau Pinang di sini, semalam.

Setelah lima tahun tidak beraksi di negeri kelahirannya, Nicol mengambil masa selama 21 minit untuk menewaskan pemain bukan pilihan dari England, Jenna Gates dengan 9-0, 9-3, 9-0.

Kejohanan anjuran rangkaian Hotel Equatorial bersama Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang itu menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM72,000 (AS$20,000).

Nicol akan bertemu rakan senegara Tricia Chuah hari ini yang terdahulu menewaskan Siti Munirah Jusoh, juga dari Malaysia 9-0, 9-0 dan 9-1.

Sementara itu, pemain nombor tiga dunia, Rachael Grinham dari Australia dan Rebecca Chiu dari Hong Kong turut layak ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan lawan masing-masing.

Dalam saingan suku akhir hari ini, Rebecca Chiu dari Hong Kong akan bertemu rakan senegaranya, Christina Mak manakala Raneem El Weleily dari Mesir bertemu pemain Malaysia, Sahron Wee.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4lO9hGobJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol pertahan gelaran



 
ARKIB : 31/07/2006
Ads by Kiosked
Nicol pertahan gelaran

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 Nicol David (kanan) dan Andrian Grant bersama trofi kemenangan selepas muncul juara acara perseorangan wanita dan lelaki Terbuka Malaysia 2006 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ABD. RAHMAN SALEH.


KUALA LUMPUR – Nicol Ann David melengkapkan kepulangannya ke takhta pemain wanita dunia dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia setelah menewaskan Tania Bailey, semalam.

Ratu skuasy Malaysia itu mengatasi lawan dari England 9-4, 9-6, 2-9, 5-9, 9-3 pada perlawanan akhir yang memakan masa sejam setengah di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, yang disaksikan oleh kira-kira 1,000 penonton.

Nicol turut muncul pemain kelima memenangi kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$58,750 (RM215,406) berturut-turut selepas menjadi anak watan pertama meraihnya pada tahun lalu.

Mereka yang pernah memenangi kejohanan yang diasaskan pada 1975 ini lebih daripada sekali ialah Annette Andrews dan Sue Patton dari Singapura selain dua pemain Australia, Michelle Martin dan Sarah Fitz-Gerald.

Nicol, 22, yang juga pilihan kedua kejohanan, turut menemui semula sentuhan sebagai juara yang hilang seketika sejak gagal menjuarai Terbuka Apawamis dan Terbuka Kuala Lumpur serta kempunan pingat Sukan Komanwel dari Februari hingga Mac lalu.

Buktinya ialah dia tidak pernah melepaskan walau satu set pun sehingga perlawanan akhir semalam malah nyaris meratah mudah Bailey selepas dua set pertama dengan corak permainan pintar, mengelirukan dan kemas.

Set pertama menyaksikan Nicol mendahului 3-0, 7-1 tetapi terpaku seketika dan bertukar servis beberapa kali pada kedudukan 7-3 sebelum pukulan kilasnya yang deras tidak terjawab lawan untuk menang 9-4.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini terus menguasai set kedua dengan pukulan jarak jauh pula membawanya dengan 4-2 dan 5-3 tetapi sedikit kegagalannya membolehkan Bailey, pemain nombor sembilan dunia mengikat 6-6.

Satu pukulan kilasan jauh ke belakang oleh Nicol tidak memberikan ruang lagi kepada lawan yang mencipta kejutan menewaskan pilihan utama, Vanessa Atkinson dan Natalie Grinham sebelum ini, untuk menang 9-6.

Dengan hanya satu set lagi, Nicol tiba-tiba merudum malah beberapa kali hilang tumpuan dan agak berang dengan persembahannya sendiri sehingga ketinggalan 1-4, 2-5 dan kalah 2-9 pada set ketiga.

Set keempat juga mempamerkan permainan Nicol yang serba tidak menjadi selepas terikat 2-2 dengan Bailey melangkah selesa untuk mendahului

5-2, 6-4 dan menang 9-5 sekalipun sempat bangkit dan mencuri satu dua mata.

Bagaimanapun rentak permainan set kelima terus dikuasai Nicol dengan pukulan tinggi dan jarak dekatnya beberapa memerangkap dan memaksa Bailey membuat kesilapan lalu memberikan mata mudah dari 6-2, 8-3 dan menang 9-3.

Kata Nicol, “saya tidak kisah tentang kejayaan merampas semula ranking utama. Yang penting, saya hanya tumpukan permainan dan menang. Terima kasih kepada penonton yang seperti membekalkan tenaga kepada saya.

“Tania bermain dengan baik dan memang seorang lawan yang berbaloi serta mampu bermain dengan berkesan terutama dalam set ketiga dan kempat,” katanya yang akan menyertai Terbuka Pulau Pinang, bulan depan.

Tania yang akan menyertai Terbuka Britain selepas ini, berkata, “saya sudah cuba habis-habisan tetapi masih gagal mengatasinya. Saya tetap gembira kerana dapat mara sejauh ini dalam sebuah kejohanan besar yang jarang diperoleh.”

Sementara itu, pilihan ketiga kejohanan dan pemain nombor 16 dunia, Adrian Grant dari England muncul juara bahagian lelaki dengan menewaskan Cameron Pilley dari Australia 7-11, 11-3, 11-6, 11-3 dalam perlawanan terdahulu.

Selaku juara, Nicol membawa pulang trofi dan ganjaran bernilai AS$6,650 (RM24,382), Tania dengan AS$4,725 (RM17,324) manakala Grant dan Pilley masing-masing memenangi AS$4,512 (RM16,543) dan AS$3,087 (RM11,318).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lNwAvfKD
© Utusan Melayu (M) Bhd