Jumaat, 23 Jun 2017

Nicol terlepas gangsa



 ARKIB : 21/03/2006

MELBOURNE - Ratu skuasy negara, Nicol Ann David bukan sahaja terlepas pingat emas bahkan terpaksa pulang tangan kosong apabila tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi penentuan pingat gangsa acara perseorangan wanita Sukan Komanwel yang berlangsung di pusat sukan dan akuatik Melbourne di sini, semalam.

Pemain nombor satu dunia, yang menjadi harapan utama Malaysia untuk membawa pulang pingat emas itu tumbang kepada Shelley Kitchen dari New Zealand, pemain yang pernah ditewaskannya dalam tujuh pertemuan sebelum ini.

Nicol menang set pertama dengan 9-5 tetapi Kitchen tidak mudah menyerlah dan bangkit memenangi set kedua meskipun satu ketika ketinggalan 4-6 sebelum meraih lima mata berturut-turut untuk memastikan kemenangan 9-6.

Pemain dari New Zealand itu meneruskan rentak terbaiknya pada set ketiga apabila menang 9-5 sebelum menutup terus peluang Nicol dengan kemenangan 9-2 pada set terakhir.

``Selepas terpaksa bekerja keras pada separuh akhir tumpuan saya semakin hilang. Saya cuba bermain dengan baik pada set pertama tetapi dia (Kitchen) bermain lebih baik dan tidak membuat banyak kesilapan.

``Saya memang kecewa dengan kekalahan ini,'' kata Nicol, yang pernah bergelar juara dunia sekali gus menduduki ranking nombor satu dunia.

Sebaliknya kemenangan itu memberikan kepuasan kepada lawannya, Kitchen yang tidak pernah menang ketika bertemu Nicol dalam tujuh pertemuan sebelumnya.

``Selepas lapan kali bertemu, akhirnya saya menang. Walaupun hanya pingat gangsa, saya merasakan ia bagaikan pingat emas,'' kata Kitchen, pemain yang menduduki ranking ke-15 dunia.

Pingat emas acara ini dimenangi oleh Natalie Grinham dari Australia, yang menumbangkan Nicol pada separuh akhir kelmarin apabila dia menewaskan kakaknya, Rachael Grinham dalam perlawanan akhir semalam.

Liz Irving, yang menjadi jurulatih Nicol berkata, kekalahan itu memberi pengajaran berguna kepada Nicol dan dia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan untuk kembali ke kemuncak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koXUCHJf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan