Ahad, 4 Jun 2017

Nicol gagal teruskan perjuangan



ARKIB : 12/09/2005

KUALA LUMPUR - Hajat ratu skuasy Malaysia, Nicol David untuk merangkul kejuaraan antarabangsa keenamnya tahun ini tidak kesampaian apabila kandas di separuh akhir skuasy wanita Terbuka PMI di Seattle, Amerika Syarikat semalam.

Nicol, 23, mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama apabila tumpas 9-7, 3-9, 6-9, 1-9 kepada pemain nombor dua dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda.

Kemenangan Atkinson itu menebus dendam di atas kekalahannya kepada pemain negara itu pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Atkinson kini menempah pertemuan dengan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dari Australia yang mara selepas menewaskan Tania Bailey dari England 9-6, 7-9, 9-2, 3-9, 9-6.

Dalam perlawanan semalam, Nicol bermula agresif dengan menyerang lawan lebih awal dan mempamerkan permainan mantap untuk menang 9-7.

Bagaimanapun, Atkinson menukar taktik permainan di set kedua dengan mula bermain rali dan mengheret perlawanan ke aksi lebih panjang.

Corak permainan Nicol nyata tidak sesuai dengan permukaan gelanggang yang perlahan, sekaligus memberi kelebihan kepada lawan untuk menguasai permainan.

Walaupun tewas, Nicol, pemain nombor tiga dunia mengharungi tahun 2005 yang cemerlang selepas memiliki lima gelaran antarabangsa sebelum ini iaitu Terbuka Kuwait, Terbuka Belanda, Terbuka Kuala Lumpur, Sukan Dunia dan Terbuka Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j1Thf5CK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan