Rabu, 28 Jun 2017

Nicol juara

ARKIB : 10/07/2006
NICOL David bersama trofi selepas muncul juara Kejohanan Qatar Airways di Falaknuma Palace, Hyderabad, semalam.

HYDERABAD - Ratu skuasy negara, Nicol David akhirnya menemui kembali sentuhan juara selepas merangkul kejuaraan profesional pertamanya tahun ini dengan memenangi Kejohanan Qatar Airways di Falaknuma Palace, di sini semalam.

Nicol, 22, yang tidak pernah memenangi sebarang gelaran dalam siri Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) sejak muncul juara dunia di Hong Kong, tujuh bulan lalu, muncul juara selepas menumpaskan penyandang juara, Rachael Grinham dari Australia 4-9, 9-5, 9-0, 9-0.

Kemenangan Nicol pada kejohanan yang menawarkan AS$80,000 (RM291,900) itu juga mampu mengembalikannya ke ranking nombor satu dunia, bulan depan.

Walaupun ini merupakan kemenangan pertama Nicol dalam Jelajah WISPA tahun ini, namun ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua buat pemain nombor dua dunia itu pada 2006 selepas menjuarai Jemputan Los Angeles, Februari lalu.

Semalam Nicol, pilihan pertama kejohanan dikejutkan dengan kekalahan 4-9 di set pembukaan, tetapi mencatat dua kemenangan mudah di set ketiga dan keempat untuk menang dalam masa 54 minit.

Nicol melakukan banyak kesilapan di awal permainan untuk memudahkan Grinham mengutip mata demi mata sebelum menamatkan saingan menerusi rali.

Ratu skuasy negara itu sekali lagi ketinggalan 3-5 pada set kedua, sebelum bangkit menyamakan kedudukan 5-5 dan berjaya menamatkan saingan 9-5 dalam masa 19 minit.

Dua set terakhir nyata milik Nicol, yang mendominasi permainan dan mengutip mata pantas menerusi aksi ralinya untuk mencatat kemenangan ketiga ke atas Grinham tahun ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lHqRF0n2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan