Khamis, 22 Jun 2017

Nicol mara ke suku akhir



ARKIB : 16/02/2006
Ads by Kiosked
Nicol mara ke suku akhir 
Oleh Johari Shawal
NICOL David membalas pukulan Shelley Kitchen pada saingan pusingan pertama Skuasy Terbuka Kuala Lumpur di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. - IZHAM JAAFAR.

KUALA Lumpur - Pemain nombor satu dunia, Nicol Ann David dipaksa bekerja keras pada dua set terakhir sebelum menundukkan pemain New Zealand, Shelley Kitchen untuk melangkah ke suku akhir skuasy Terbuka Kuala Lumpur di sini, semalam.

Bermain di gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Nicol menang dua set pertama 9-6, 9-5 tetapi Kitchen, pemain nombor 16 dunia, bangkit pada set ketiga untuk mengatasi pemain negara 9-4.

Pada set keempat, Nicol ketinggalan 4-2 tetapi kemudian bingkas memperbaiki permainannya dan menang 9-4.

Ratu skuasy Malaysia itu menamatkan aksi getir itu dalam masa keseluruhan 39 minit.

``Pertarungan hari ini memang sukar. Dia (Kitchen) banyak membuat kesilapan pada dua set pertama.

``Bagaimanapun, dia menemui rentaknya pada set ketiga dan saya pula banyak melakukan kesilapan.

``Tetapi saya kemudian kembali mendapat sentuhan pukulan yang baik pada set keempat,'' kata Nicol.

Pada suku akhir hari ini, Nicol akan menentang pemain Belanda yang juga pemain ke-14 dunia, Annelize Naude yang turut melangkah ke suku akhir setelah mendapat kemenangan percuma.

Lawannya, Amelia Pittock dari Australia yang layak ke pusingan pertama secara undian, menarik diri akibat kecederaan.

Kejayaan Nicol itu bagaimanapun gagal diikuti oleh seorang lagi pemain wanita negara, Sharon Wee yang tumpas mudah kepada pemain nombor dua dunia dari Belanda, Vanessa Atkinson.

Sharon tunduk 9-1, 9-2, 9-4 dalam masa 22 minit.

Dalam bahagian lelaki, dua pemain sandaran negara, Mohd. Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee tidak menghadapi masalah ke suku akhir.

Mohd. Azlan yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan ini, mengatasi pemain England, Lee Drew 8-11, 11-1, 11-6, 11-7 dalam masa 41 minit.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kk2chUSw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan