ARKIB : 05/12/2005
NICOL David menjulang trofi selepas muncul pemain wanita Asia pertama menjuarai skuasy dunia di Hong Kong, semalam. - AFP.
HONG KONG - Ratu skuasy
Malaysia, Nicol David melakar sejarah muncul pemain wanita Asia pertama
menjuarai kejohanan dunia semalam, sekali gus memberikannya kejayaan berganda
selepas turut merampas gelaran pemain nombor satu dunia, kelmarin.
Malah, Nicol, yang bangkit
daripada ketinggalan ketika menewaskan pilihan pertama, Rachael Grinham dari
Australia 8-10, 9-2, 9-6, 9-7 di Pusat Kebudayaan Hong Kong, semalam adalah
antara juara dunia termuda dalam sejarah 29 tahun kejohanan. Nicol kini berusia
22 tahun, tiga bulan.
Ini merupakan kejayaan terbesar
buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu, yang mengejutkan juara dunia dan pemain
nombor satu dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda di separuh akhir.
``Bergelar juara dunia adalah
satu penghormatan besar buat saya,'' kata Nicol, yang juga juara remaja dunia
1999 dan 2001.
``Saya kini sudah bersedia
untuk menghadapi semua cabaran tahun depan dan harap akan menang lagi,''
katanya, yang bakal ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia secara rasmi
pada 1 Januari, 2006.
Selain bergelar juara dunia dan
pemain nombor satu dunia, Nicol juga merupakan pemenang kejohanan prestij,
Terbuka Britain, Oktober lalu selain juara enam gelaran antarabangsa lain tahun
ini - Sukan Dunia, Terbuka Kuwait, Terbuka Belanda, Terbuka Kuala Lumpur,
Terbuka Malaysia dan Terbuka Carol Weymuller di New York.
Semalam Nicol, yang juga juara
Asia tumpas 8-10 pada set pertama tetapi bangkit dengan permainan pantas dalam
tiga set berikutnya untuk menang 8-10, 9-2, 9-6, 9-6 dalam masa 53 minit.
Kemenangan ke atas Grinham,
bekas pemain nombor satu dunia membolehkan Nicol menyamakan rekod pertemuan
kedua-dua pemain kepada 5-5 daripada 10 perlawanan.
Sementara itu di KUALA LUMPUR,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Nicol sebagai ahli sukan terbilang
negara berikutan kejayaannya itu.
Perdana Menteri yang sangat
berbangga dengan kejayaan itu, juga mahu ahli sukan negara lain dan rakyat
Malaysia mencontohi kegigihan Nicol.
``Saya sangat berbangga dengan
pencapaian Nicol yang memenangi Kejohanan Terbuka Dunia di Hong Kong yang
sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.
``Persembahan cemerlangnya hari
ini menjadikannya sebagai seorang ahli sukan yang terbilang.
``Ahli-ahli sukan lain dan
rakyat Malaysia secara amnya, patut mencontohinya,'' kata Perdana Menteri dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Azalina Othman Said juga mengucapkan tahniah di atas kejayaan Nicol dan memberi
jaminan akan terus membantu pemain itu dalam semua aspek.
``Kita yakin kejayaan Nicol ini
akan mendorong atlet kita untuk mencapai tahap dunia,'' katanya.
Persatuan Raket Skuasy
Malay-sia (SRAM) akan mengadakan sambutan besar-besaran untuk menyambut
kepulangan Nicol yang dijadual tiba di tanah air hari ini.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jP6GHwMF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan