Khamis, 22 Jun 2017

Nicol, Azlan teruskan kemaraan



ARKIB : 17/02/2006
Ads by Kiosked

Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK

KUALA LUMPUR - Tiga pemain negara semakin hampir untuk memastikan Malaysia membolot kategori lelaki dan wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur apabila masing-masing mara ke separuh akhir.

Ong Beng Hee, Azlan Iskandar dan Nicol David melepasi suku akhir semalam di gelanggang baru berkaca di Berjaya Times Square, di sini selepas dipindahkan dari Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Nicol dengan mudah menundukkan pemain Belanda, Annelize Naude 9-0, 9-0, 10-8 dalam masa 20 minit sekali gus menempah pertemuan separuh akhir dengan pemain Australia, Natalie Grinham, hari ini.

Katanya:``Kali ini lawan benar-benar memberikan ujian kepada saya apatah lagi bermain di gelanggang baru. Saya puas hati dengan persembahan walaupun sedar lawan cuba bangkit pada set terakhir.''

Terdahulu, Natalie yang juga adik kepada pilihan ketiga dan bekas nombor satu dunia, Rachael Grinham, menewaskan pemain England, Jenny Dincalm 2-9, 9-2, 7-9, 9-0, 9-0.

Azlan dan Beng Hee selaku pilihan utama dan kedua mengharungi dua situasi berbeza ketika melangkah dari suku akhir dengan menentang dua pemain Mesir, Hisham Mohd. Ashour dan Ramy Ashour.

Beng Hee berdepan sedikit kesukaran sebelum menjinakkan Ramy 8-11, 11-5, 11-10, 11-2 dalam masa 54 minit tetapi Azlan, juara Artemis Edinburgh, bulan lalu, mudah melepasi Hisham 11-10, 11-8, 11-5 selepas 35 minit.

Azlan yang menghampiri gelaran keduanya, pula menempah tempat separuh akhir dengan menentang Adrian Grant dari England yang menundukkan pemain Kanada, Shaher Razik 10-11, 9-11, 11-8, 11-6, 11-8.

Beng Hee pula akan berdepan dengan seorang lagi pemain Mesir, Wael El Hindi yang mengejutkan Mansoor Zaman dari Pakistan 11-10, 11-10, 5-11, 11-6 dalam tempoh 37 minit.

Sementara itu, pilihan kedua, Vanessa Atkinson dari Belanda untuk menundukkan pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger 10-8, 9-4, 9-0 untuk turut ke separuh akhir.

Atkinson, juara Terbuka Apawamis di New York dengan menundukkan Nicol, baru-baru ini, akan menentang Madeline Perry dari Ireland yang mengejutkan Rachael 9-1, 9-7, 9-1.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kk7XTHey
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan