ARKIB : 06/08/2006
Ads by Kiosked
Nicol juara Equatorial
Oleh NURUL HUDA HASSAN
NICOL David (depan) menewaskan
pemain Australia, Rachael Grinham untuk menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita
Terbuka Hotel Equatorial Pulau Pinang di Bukit Dumbar, semalam. Gambar SAZALI
CHE DIN.
PULAU PINANG Ratu skuasy
negara, Nicol David merangkul kejuaraan antarabangsa ketiga berturut-turut
selepas menjuarai Kejohanan Wanita Terbuka Hotel Equatorial Pulau Pinang
semalam, dan tambah manis lagi kemenangan itu dicatatkan di negeri
kelahirannya.
Bagi Nicol, yang menundukkan
pemain Australia, Rachael Grinham pada perlawanan akhir, kemenangan di Pusat
Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang, Bukit Dumbar itu merupakan hadiah paling
istimewa buat rakyat Pulau Pinang.
Saya gembira kerana memenangi
tiga kejohanan berturut- turut dan perasaan itu sukar digambarkan lebih-lebih
lagi kerana kemenangan dicatatkan di tempat kelahiran saya, Pulau Pinang,
kata pemain nombor satu dunia itu sejurus tamat perlawanan.
Nicol, 22, bagaimanapun tidak
diberi laluan mudah untuk merangkul kejuaraan apabila dikerah beraksi dalam 55
minit permainan sebelum menundukkan Grinham, 9-5, 9-6, 5-9, 9-3.
Juara dunia itu sebelum ini
telah memenangi dua kejohanan terakhir yang disertainya - Terbuka Malaysia dan
dan Qatar Airways.
Sejurus tamat perlawanannya,
Nicol turut mengumumkan hasrat untuk berehat seketika sebelum kembali memberi
tumpuan kepada usaha mempertahankan gelaran dunia di Kanada, bulan depan.
Saya akan pulang ke Amsterdam
(Belanda) pada 17 atau 18 Ogos ini untuk kembali menjalani latihan bagi
menghadapi beberapa kejohanan utama.
Saya mungkin menyertai
Terbuka Britain dan Kanada tetapi buat masa sekarang, saya hanya mahu berehat
dan menghabiskan masa bersama keluarga di sini. Untuk beberapa hari ini saya
hanya mahu menikmati masakan Pulau Pinang, kata Nicol, yang juga juara
Terbuka Britain.
Kemenangan semalam, yang
mengukuhkan lagi kedudukan Nicol di ranking nombor satu dunia turut
melayakkannya merangkul hadiah lumayan AS$20,000 (RM72,000).
Mengulas mengenai pertemuannya
dengan Grinham, Nicol berkata, pengalaman yang dimiliki pemain Australia itu
berjaya memerangkapnya di set ketiga.
Kata Nicol, bekas pemain nombor
satu dunia itu amat memahami corak permainannya memandangkan kedua-dua mereka
kerap bertemu pada kejohanan antarabangsa.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lTcvnH80
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan