Ahad, 25 Jun 2017

Nicol atlet terbaik



ARKIB : 30/04/2006

PULAU PINANG - Juara skuasy dunia, Nicol David sekali lagi dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Pulau Pinang sekali gus menjulang Anugerah Perdana buat kali kedua berturut-turut sempena majlis Anugerah Sukan Negeri 2005 di sini, kelmarin.

Nicol, 23, yang diwakili oleh bapanya, Desmond David, membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Nicol memenangi anugerah yang sama bagi tahun 2004 dan masih menjadi calon tunggal bagi hadiah tersebut setelah pencapaiannya pada kejohanan bertaraf dunia, sehingga kini tidak mampu disaingi atlet tempatan lain.

Olahragawati Negara 2005 pada Anugerah Sukan Negara itu juga merupakan Olahragawati Pulau Pinang sebanyak enam kali sejak 1997.

Sementara itu, pemain badminton negara, Lee Chong Wei yang menduduki ranking kedua dunia, dipilih sebagai Olahragawan Pulau Pinang 2005 ekoran prestasi membanggakan pada Kejohanan Dunia dan Seluruh England.

Olahragawan Negara 2005 itu yang kini mewakili negara dalam pusingan akhir Piala Thomas di Jepun, diwakili oleh bapanya yang menerima anugerah berkenaan serta RM3,000.

Pemain boling negara, Esther Cheah Mei Lan yang membantu Malaysia memenangi emas Kejohanan Wanita Dunia, dipilih sebagai Olahragawati Pulau Pinang 2005 dan menerima RM3,000.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan Pulau Pinang pula dimenangi oleh dua atlet karate-do, Tan Chee Sheng dan Tan Shi Ying dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4l4wN4RyM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan