Ahad, 11 Jun 2017

Nicol selangkah lagi bergelar juara



ARKIB : 07/02/2006
NEW YORK - Pemain nombor satu dunia, Nicol David akan berentap dengan pemain nombor dua dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda untuk menentukan kejuaraan skuasy Terbuka Apawanis dalam perlawanan akhir, hari ini.

Nicol, yang memburu gelaran antarabangsa keduanya tahun ini selepas muncul juara Kejohanan Jemputan di Los Angeles minggu lalu menewaskan musuh tradisi dan pemain nombor tiga dunia dari Australia, Rachael Grinham 9-7, 9-2, 1-9, 9-5 dalam saingan separuh akhir semalam.

Atkinson pula menyingkirkan pemain pusingan kelayakan, Fiona Geaves dari England 10-8, 9-0, 9-1 untuk menempah pertemuan dengan Nicol buat kali kedua dalam tempoh seminggu.

Nicol, pemenang lapan gelaran antarabangsa pada 2005, termasuk kejuaraan dunia dan Terbuka Britain menewaskan Atkinson 9-7, 9-5, 9-5 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain di Los Angeles minggu lalu.

Semalam, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun itu seperti biasa mempamer aksi agresif dan pantas ketika memerangkap Grinham dalam perlawanan yang berlangsung hampir 50 minit.

Nicol, yang kian hampir untuk menjuarai kejohanan bernilai AS$40,000 (RM150,000) itu turut melakukan drop shot serta voli yang hebat untuk mengetepikan Grinham.

Kalah 7-9, 2-9 dalam dua set pertama, tidak mematahkan semangat Grinham untuk cuba bangkit dan dia kembali dengan beberapa pukulan lintang yang cantik pada set ketiga untuk memenangi saingan 9-1.

Bagaimanapun, aksi konsisten Nicol, yang terus dengan permainan pantas dan drop shot cantik memberi kemenangan 9-5 pada set penentuan, sekali gus menempah pertemuan dengan Atkinson.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jiTsdXC8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan