Isnin, 5 Jun 2017

Nicol mara ke perlawanan akhir



ARKIB : 31/10/2005
KUALA LUMPUR - Nicol David menghampiri kejuaraan antarabangsa kelapannya tahun ini dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Carol Weymuller di New York, semalam.

Ratu skuasy negara itu bagaimanapun dipaksa mengharungi pertarungan dramatik yang berlangsung selama satu jam 30 minit, termasuk bangkit daripada kekalahan pada set pembukaan sebelum menyingkirkan pilihan keempat, Vicky Botwright dari England 5-9, 9-1, 3-9, 9-6, 10-8.

Nicol yang menjadi pilihan utama untuk muncul juara kejohanan bernilai AS$31,500 (RM119,700) itu ekoran kekalahan pilihan pertama, Vanessa Atkinson dari Belanda di suku akhir kelmarin, akan menentang pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia.

Grinham menempah pertemuan akhir dengan Nicol selepas menewaskan pemain Perancis dan pilihan kelapan, Isabelle Stoehr 10-9, 6-9, 9-2, 9-1.

Nicol, pemain nombor tiga dunia yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Britain minggu lalu menghadapi masalah untuk mengikut rentak permainan lawan pada set pertama sebelum kalah 5-9.

Dia bagaimanapun berjaya mengawal permainan dengan baik pada set kedua ketika menang 9-1 dengan memukul bola lebih pantas dan menyukarkan lawan untuk membalas.

Permainan bertambah panas apabila Botwright kembali mendahului 2-1 dengan menang 9-3 di set ketiga selepas berjaya mengembalikan setiap pukulan Nicol.

Nicol yang terkenal dengan semangat juang tinggi mempamer kebangkitan hebat dalam set keempat dengan melakukan banyak hantaran rendah untuk mencatat kemenangan 9-6.

Set terakhir berlangsung dengan amat mendebarkan apabila Botwright mendahului 4-1 tetapi Nicol berjaya menyamakan kedudukan 5-5.

Botwright kembali menjarakkan mata kepada 7-5 dan 8-5, namun sekali Nicol bangkit dengan permainan terbaik untuk memenangi perlawanan 10-8.

Juara remaja dunia dua kali, Nicol, 22, telah pun memiliki tujuh koleksi kejuaraan antarabangsa tahun ini iaitu Terbuka Kuwait, Belanda, Kuala Lumpur, Malaysia, Britain dan Sukan Dunia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jAubgIaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan