Sabtu, 10 Jun 2017

Nicol mahu pertahan No.1



ARKIB : 18/01/2006

Oleh ROKIAH ABDULLAH

NICOL Ann David berazam mahu terus mempertahankan kedudukan sebagai pemain skuasy wanita No. 1 dunia selain berusaha memburu pingat emas negara pada Sukan Komanwel di Melbourne, Mac ini.


PULAU PINANG - Setelah cita-cita bergelar pemain nombor satu dunia tercapai, ratu skuasy negara, Nicol Ann David kini perlu memastikan mampu mencatat keputusan terbaik pada setiap kejohanan yang disertai bagi mengekalkan gelaran yang disandangnya itu.

Sehubungan itu, Kejohanan Terbuka Apawamis di New York, Amerika Syarikat pada 3 hingga 6 Februari ini akan dijadikan ukuran bagi Nicol yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia, sebagai ukuran sama ada mampu atau tidak baginya mengekalkan gelaran itu.

Ini memandangkan kejohanan itu menyumbangkan mata yang tinggi untuknya menentukan kedudukan dalam ranking dunia tahun ini.

Nicol, 22, yang ditemui pada majlis meraikan kejayaannya sebagai pemain nombor satu dunia oleh bekas sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Lane, Jalan Air Hitam di sini semalam, ternyata begitu bersemangat untuk mempertahankan gelaran yang dimilikinya sekarang.

Dia merangkul gelaran pemain nombor satu dunia setelah muncul juara Terbuka Dunia di Hong Kong, 3 Disember lalu, kini giat menjalani latihan selama 10 hari di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang di sini di bawah bimbingan jurulatih peribadinya, Liz Irving yang tiba sejak minggu lepas.

Sebelum bergelar pemain nombor satu dunia, Nicol berada pada kedudukan ketiga.

``Menjadi pemain nombor satu dunia adalah perkara yang ingin saya capai dalam sukan ini. Saya tidak menyangka impian ini menjadi kenyataan dalam waktu terdekat. Saya amat gembira.

``Apa yang penting, saya perlu mencatat keputusan yang baik dalam setiap pertandingan untk kekal sebagai pemain nombor satu,'' katanya sambil tersenyum.

Selain kejohanan di New York itu, Terbuka Kuala Lumpur yang juga akan berlangsung bulan depan, turut memberi peluang bagi Nicol untuk mengumpul lebih banyak mata dalam usahanya mengekalkan kedudukan dunia tahun ini.

Selepas itu, Nicol yang mula bermain skuasy sejak berusia lima tahun lagi, akan menggalas harapan negara meraih pingat emas pada Sukan Komanwel ke-18 di Melbourne, Australia, Mac depan.

Sementara itu, Nicol melahirkan penghargaan kepada SMK Green Lane yang banyak membantunya sepanjang belajar di sekolah tersebut.

Katanya, walaupun kerap `tertinggal' dalam pelajaran kerana bertanding sama ada dalam atau luar negara, pihak sekolah membantu dengan memberi kelas tambahan kepadanya.

``Begitu juga dengan peperiksaan, saya diberikan kemudahan membuatnya selepas pertandingan. Saya terharu dengan bantuan guru-guru dan rakan-rakan sehingga berjaya mencatat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

``Kerana bagi saya, pelajaran dan sukan sama penting, perlu dijalankan secara seiring,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jbgJCpx2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan