ARKIB : 19/10/2005
RATU skuasy negara, Nicol David
ketika beraksi menentang pemain pilihan keempat, Natalie Grinham dari Australia
sebelum menang 9-6, 9-7, 9-6 pada perlawanan akhir Terbuka Britain, semalam.
Gambar kecil beliau bersama trofi kemenangannya.
MANCHESTER, England - Ratu
skuasy negara, Nicol David berada di landasan terbaik dalam usahanya untuk
merampas ranking pemain nombor satu dunia apabila menjuarai kejohanan prestij
Terbuka Britain, semalam.
Nicol, 22, melakar sejarah
dengan muncul pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan prestij itu selepas
menundukkan pencabar dari Australia, Natalie Grinham 9-6, 9-7, 9-6 dalam
pertarungan selama 55 minit.
Ini merupakan kejuaraan
antarabangsa keenam berjaya dimenangi pemain nombor tiga dunia itu tahun ini
selepas menjuarai Terbuka Kuwait, Belanda, Kuala Lumpur, Sukan Dunia dan
Terbuka Malaysia.
Walaupun kemenangan di
Manchester belum mencukupi untuk membantu Nicol memintas pemain nombor satu
dunia, Rachael Grinham, pemain yang ditundukkan pada separuh akhir kelmarin, namun
dia sudah menghampiri kedudukan itu.
Nicol mampu merampas takhta
pemain nombor satu dunia andai berjaya menjuarai Qatar Classic dan Kejohanan
Dunia di Hong Kong, bulan depan.
Dalam perlawanan semalam, Nicol
mendahului 4-0 di set pertama dan walaupun membenarkan Grinham menyamakan
kedudukan 4-4, dia kembali menjarakkan mata kepada 7-4, sebelum menang 9-6.
Grinham, pemain nombor empat
dunia bermula agresif pada set kedua dengan mendahului 3-0 dan 7-5,
bagaimanapun permainan pantas Nicol berjaya mengikat pemain Australia itu
kepada 7-7 dan akhirnya menang 9-7.
Set ketiga paling mendebarkan
buat Nicol apabila ketinggalan 0-6. Begitupun sekali, dia bangkit dengan
gerakan pantasnya untuk kemenangan 9-6.
``Saya masih tidak percaya.
Saya telah melepasi suku akhir, mengalahkan Rachael pada separuh akhir dan
sekarang... muncul juara Terbuka Britain... ia bagaikan mimpi,'' kata Nicol
sebaik mengesahkan kejuaraannya.
Bekas juara remaja dunia dua
kali itu mengakui tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara ketika
menjejakkan kaki di Manchester kerana sedar setiap pusingan yang perlu
diharungi amat sukar.
``Saya terpaksa bekerja keras
dan sentiasa mengejar ketika menentang Natalie. Dia mengheret saya dalam permainan
rali panjang dan dalam situasi ini, disiplin amat penting.
``Pada set ketiga dia mengawal
rentak permainan, saya pula bermula dengan agak gopoh. Tetapi kemudian saya
mengingatkan diri sendiri supaya bertenang dan kembali fokus kepada permainan
sendiri,'' kata Nicol.
Nicol menunjukkan peningkatan
besar sejak menjalani latihan di bawah bekas pemain nombor satu dunia, Liv
Irving dua setengah tahun yang lalu.
``Ini adalah persembahan
terbaik Nicol yang pernah saya saksikan. ``Saya bagaikan tidak percaya melihat
dia kini sudah amat matang berbanding usianya,'' kata Irving.
Grinham amat kecewa dengan
kekalahannya tetapi berpuas hati dengan usaha yang telah dilakukan dan mengakui
Nicol berhak memenangi perlawanan ini.
Sementara itu, pemain nombor
enam dunia, Anthony Ricketts dari Australia membawa pulang kejuaraan lelaki
selepas menundukkan James Willstrop dari England 11-7, 11-9, 11-7.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j9CuXYuF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan