ARKIB : 22/08/2005
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Nicol David yang juga menduduki ranking ketiga dunia, meletakkan
sasaran merampas gelaran nombor satu, tahun depan.
Namun begitu, pemain Malaysia
itu perlu berdepan saingan getir untuk memungut mata demi mencapai sasaran
tersebut.
Apa pun pemain yang berasal
dari Pulau Pinang berusia 21 tahun itu tidak berani meletakkan tarikh sebenar
beliau boleh mencapai sasaran berkenaan.
``Seperti pemain lain, saya
juga mahu berada di rangking pertama dunia. Namun begitu, tugas berat pertama
yang mesti saya pikul ialah mempertahankan rangking sekarang.
``Kini, saya berada di tangga
ketiga dunia. Saingan yang cukup saya takut ialah para pemain lain yang berada
di rangking keempat hingga keenam,'' ujar Nicol kepada Sukan Utusan Malaysia,
di sini.
Saingan dimaksudkan itu ialah
mereka yang berada di rangking keempat hingga keenam dunia yang boleh memintas
pungutan mata Nicol pada bila-bila masa sahaja.
Sekali pun cabaran yang mesti
dilalui oleh Nicol cukup besar terutama daripada para pemain yang berada di
bawahnya, namun dia mencari jalan untuk tidak dipintas.
``Untuk memastikan kedudukan
saya tidak dipintas, saya mesti berhempas-pulas untuk memintas pungutan mata
dua pemain (Rachael Grinham dan Vaness Atkinson) yang berada di atas saya.
``Apabila kedudukan dua pemain
itu boleh dipintas, barulah saya boleh berpuas hati untuk sementara waktu,''
ujarnya.
Nicol adalah juara remaja dunia
(1999 dan 2001), juara Asia (1998, 2000, 2002 dan 2004), mengutip pingat perak
Sukan Komanwel 2002 dan pingat emas Sukan Asia Bangkok 1998.
Pemain itu kini beraksi untuk
Kelab Skuasy City, Amsterdam, Belanda.
Nicol memungut pingat emas pada
Kejohanan Skuasy Dunia 2005 dan Juara Wanita Terbuka Malaysia 2005.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4irzyAby1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan