ARKIB : 30/07/2006
Ads by Kiosked
Nicol hampiri dua gelaran
RATU skuasy negara, Nicol David
mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia selepas menewaskan musuh ketatnya,
Rachael Grinham dari Australia 10-8, 9-6, 9-4 pada saingan separuh akhir di
Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Nicol David melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia hari ini
untuk mempertahankan kejuaraannya sambil merampas kedudukan nombor satu dunia
daripada Vanessa Atkinson.
Pemain kelahiran Pulau Pinang
ini mengesahkannya dengan menumpaskan Rachael Grinham dari Australia 10-8, 9-6,
9-4 dalam masa sejam pada separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil,
semalam.
Nicol yang terlepas kedudukan
itu kepada Vanessa selepas gagal dalam Terbuka Apawamis dan Kuala Lumpur, Februari
lalu, meraihnya semula apabila pemain Belanda itu kalah dalam suku akhir,
kelmarin.
Nicol akan memburu gelaran
kedua pada tahun ini dengan menentang Tania Bailey pada perlawanan akhir
setelah pemain England itu menghampakan adik Rachael, Natalie dalam satu lagi
separuh akhir.
Sebelumnya, Olahragawati Negara
2005 ini menjuarai Terbuka Qatar Airways di Hyderabad, India, dua minggu lalu -
gelaran yang memulihkan semangat dan tumpuannya setelah pulang dengan tangan
kosong pada Sukan Komanwel.
Tania, 27, pemain kelahiran
Stamford, Lincs, dan menduduki ranking kesembilan dunia, dipaksa berhempas
pulas hampir sejam sebelum mampu menjinakkan Natalie yang juga naib juara Sukan
Komanwel, 9-7, 9-7, 7-9, 1-9, 9-3.
Malangnya, cabaran Malaysia
dalam bahagian lelaki terkandas pada separuh akhir apabila Azlan Iskandar yang
juga pilihan utama kejohanan, tewas mudah kepada Adrian Grant dari England
9-11, 5-11, 5-11.
Entah kenapa saya terbawa-bawa
dengan perlawanan ini sejak awal pagi tadi. Semuanya serba tidak menjadi
menentang Grant, katanya yang kecewa kepada pemain pilihan ketiga kejohanan
itu.
Sementara itu, Nicol
menunjukkan permainan yang bermutu dan mengagumkan penonton apabila kerap kali
memperdayakan Rachael dengan pukulan lembut jarak dekat.
Mengajak lawan bermain secara
rali dan mengawal setiap inci gelanggang, pemain negara ini turut menunjukkan
kebangkitan mengejar ketika ketinggalan 0-3, 5-7, 6-8 dalam set pertama.
Dalam set kedua, giliran Nicol
pula bertindak garang dan meyakinkan dengan pukulan rendahnya terus memerangkap
lawan yang juga pemain ketiga untuk menjadikan kedudukan 3-0, 6-3 dan 8-5.
Set ketiga pula menyaksikan
Rachael semakin keletihan dengan melepaskan mata demi mata, 2-4, 3-5 dan 3-7
lalu terpaksa akur dengan kehebatan wirawati tuan rumah 4-9.
Nicol yang mengakui staminanya
banyak memainkan peranan dalam kemenangannya, berkata, saya hanya mengejar
setiap bola yang dihantar dengan sedaya mungkin tetapi cukup mencabar bermain
menentang Rachael.
Juara wanita Terbuka Malaysia,
akan membawa pulang trofi dan ganjaran AS$6,650 (RM24,382) manakala naib juara,
AS$4,725 (RM17,324) dan peserta separuh akhir, masing-masing menerima AS$3,062
(RM11,226).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lNrklIWk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan