Khamis, 1 Jun 2017

Nicol akhiri penantian negara



 
ARKIB : 31/07/2005

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
RATU skuasy negara, Nicol David berjalan keluar dari gelanggang melepasi hadapan penonton dengan senyuman selepas muncul juara Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. - Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.

KUALA LUMPUR - Nicol David mengakhiri penantian 30 tahun negara untuk menyaksikan anak watannya bergelar juara wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia dengan menewaskan Vanessa Atkinson pada perlawanan akhir, semalam.

Ratu skuasy kelahiran Pulau Pinang itu membenam lawan dari Belanda 3-9, 9-3, 1-9, 9-1, 9-4 dalam masa kira-kira 50 minit untuk menjulang trofi kejuaraan sambil membawa pulang hadiah wang tunai, AS$4,750 (RM18,050).

Kemenangan Nicol di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil ini turut membalas dendam kekalahannya kepada Vanessa, tahun lalu sekali gus menamatkan dua cubaan yang gagal pada perlawanan akhir sejak 2003 kerana turut dihampakan oleh Cassie Jackman dari England.

Tambah manis ialah apabila gelaran ini menambah satu lagi koleksi emas peribadinya dalam tempoh 10 hari selepas bergelar juara Sukan Dunia di Duisburg, Jerman dengan menundukkan pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham dua kali termasuk separuh akhir, kelmarin.

Kejohanan yang diasaskan pada 1975 hanya pernah menyaksikan Glynne Wong dari Malaysia bergelar naib juara sejak itu dan setahun berikutnya selepas tewas kepada Helen Chinchen dan Annette Andrews dari Singapura.

Aksi dalam set pertama menyaksikan Nicol gagal menemui rentak sehingga ditinggalkan pada 2-5 dan 7-3 sebelum set berikutnya memaparkan kebangkitan beliau mara dan melebarkan kedudukan ke 6-2 dan 7-3.

Giliran Vanessa untuk menjinakkan Nicol, pemain ketiga dunia tiba pada set ketiga dengan permainannya yang sentiasa menutup ruang dan penuh helah sehingga hanya membenarkan satu mata terlepas kepada lawan.

Set keempat bagaimanapun kembali ditebus oleh Nicol, juga dengan hanya satu mata dilepaskan sambil memanfaatkan kepenatan lawan dan sorakan gamat kira-kira 1,000 penonton untuk memenangi set penentuan setelah mendahului 3-0, 4-3 dan 5-4.

``Momentum memainkan peranan menentukan siapa juara. Kami bergilir mendapatkannya dalam setiap set tetapi penonton yang sentiasa bersama saya turut mencipta banyak perbezaan.

``Saya hanya mengumpulkan tenaga sebanyak mungkin apabila melihatkan lawan semakin penat dalam set keempat dan kelima. Saya makin mendesaknya dan berharap beliau buat silap,'' kata Nicol.

Menurut anak didik Liz Irving berusia 22 tahun ini, sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaannya memenangi Terbuka Malaysia di hadapan penyokong sendiri apatah lagi setelah melalui beberapa minggu pertandingan yang panjang.

Katanya, gelaran pertama di sini memang menakjubkan dan seperti satu bonus kepada setiap kerja kerasnya selain meningkatkan keyakinan untuk memburu kedudukan nombor satu dunia milik Rachael dari Australia, dalam sedikit masa lagi.

Vanessa, pemain nombor dua dunia yang membawa pulang AS$3,375 (RM12,825) sebagai naib juara pula mengakui, tenaganya bagaikan kosong langsung pada set penentuan sehingga memerlukan masa untuk memulihkan diri sedangkan Nicol kian mendesaknya.

``Memang saya penat dan pulih agak lewat. Sorakan penonton pula menghantui saya sampai hilang tumpuan dibuatnya. Sukar untuk bangkit mengejar lagi sedangkan lawan seperti memiliki nafas baru,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4il2IKox8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan