Selasa, 27 Jun 2017

Nicol menang anugerah SAM



ARKIB : 27/06/2006
PETALING JAYA - Ratu skuasy negara, Nicol David dipilih sebagai pemenang Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus 2005 selepas menewaskan empat calon lain.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut merangkul trofi dan hadiah RM5,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Hilton di sini, malam tadi.

Nicol membuktikan dia berhak menerimanya kerana mengumpul lapan gelaran berprestij - Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait, Terbuka Belanda, Sukan Dunia, Terbuka Malaysia, Terbuka Britain dan Terbuka Dunia sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan anugerah, Khalid Saad berkata, selain pencapaian, Nicol dipilih berdasarkan ciri-ciri disiplin, karisma, impak yang ditonjolkan serta pesona atlet tersebut.

Nicol yang diwakili bapanya, Desmond David kerana berlatih di Belanda, menewaskan calon lain anugerah, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty (badminton), Ng Shu Wai (gimnastik), Nur Iryani Azmi (boling padang) dan Roslinda Samsu (olahraga).

Kejayaan ini juga berupa anugerah berganda buat Nicol selepas muncul Olahragawati Negara 2005 anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) pada April lalu yang turut membawa pulang hadiah RM10,000 dan trofi.

Bekas pemain nombor satu dunia ini juga menjadi atlet wanita keenam memenanginya sejak 1985 selepas Nurul Huda Abdullah (renang), Lisa Kwan (boling), Shalin Zulkifli (boling) dan Nurul Hudda Baharin (menembak) serta S. Premila (karate).

Roslinda dicalonkan atas kemenangan pingat gangsa Kejohanan Asia di Incheon; Nor Iryani menjuarai perseorangan dunia di Christchurch dan Pei Tty-Ee Hui memenangi emas beregu wanita Sukan SEA sementara Shu Wai membolot beberapa emas temasya dwitahunan di Filipina itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4lCd24a7y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan