ARKIB : 30/07/2005
NICOL DAVID membalas pukulan
Rachael Grinham pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia
di Kompleks Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam. Nicol menang 6-9, 9-6, 3-9,
9-3, 9-7.
KUALA LUMPUR - Nicol David
berpeluang mencipta sejarah menjadi pemain negara pertama menjuarai Kejohanan
Skuasy Terbuka Malaysia apabila melangkah ke final hari ini selepas menewaskan
pemain nombor satu dunia, Rachael Grinham di Kompleks Skuasy Nasional, Bukit
Jalil semalam.
Nicol, naib juara kejohanan
yang sama tahun lalu itu menang dengan keputusan 6-9,9-6,3-9,9-3,9-7 dalam masa
66 minit pada aksi separuh akhir yang penuh debar di depan kira-kira 2,000
penonton.
Ia sekali gus mengulangi
pertemuan final tahun lalu di mana Nicol bertemu dengan juara bertahan Vanessa
Atkinson dari Belanda yang menewaskan Natalie Grinham dari Australia,
0-9,9-5,5-9,9-3,9-4 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Kemenangan ke atas Rachael itu
merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu selepas ratu skuasy negara itu
menewaskan Rachael 9-4, 10-8, 9-1 pada final di Sukan Dunia, di Duisburg,
Jerman.
Menurut Nicol, kemenangan itu
merupakan satu bonus dalam laluannya untuk melakar sejarah sebagai pemain
pertama negara muncul juara sepanjang 30 tahun kejohanan Terbuka Malaysia.
``Sukar untuk saya
menggambarkan betapa gembiranya saya kerana berjaya mencatat kemenangan ke atas
Rachael di depan penyokong sendiri.
``Begitupun kemenangan ini
tidak mudah dicapai. Masing-masing melakukan kesilapan. Kemenangan ini
menyemarakkan semangat untuk memenangi perlawanan akhir esok (hari ini),''
katanya.
Perlawanan semalam berlangsung
dengan penuh debar dan menarik apabila kedua-duanya mempamer permainan kelas
dunia dan berskil tinggi. Nicol yang kelihatan cukup bersemangat untuk
memulakan perlawanan bagaimanapun tewas 6-9 di set pertama.
Namun, dia bangkit dengan mata
yang sama di set kedua tetapi permainan Nicol kembali merosot apabila kalah di
set ketiga dengan 3-9.
Sorakan padu penonton di Pusat
Skuasy Nasional buat pertama kali penuh dengan penyokong menyaksikan Nicol
bangkit di set ke empat dengan 9-3 dan meneruskan aksi kemenangan apabila
mengungguli set terakhir, 9-7.
Mengenai pertemuan akhir
menentang Vanessa hari ini, Nicol berkata peluang untuk menewaskan tetap ada.
``Vanessa juara dunia tahun
lalu, sudah pasti ia satu perlawanan yang sukar. Tetapi saya percaya rentak
kemenangan di kejohanan kali ini akan berterusan dan saya mahu menghadiahkan
sesuatu untuk penyokong esok (hari ini),'' katanya selepas perlawanan berakhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4il14xOHG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan