Isnin, 5 Jun 2017

Pemburuan No.1 semakin hampir -- Nicol anak kelahiran P. Pinang tawan Terbuka Carol Weymuller, AS



 
ARKIB : 01/11/2005
Ads by Kiosked
Pemburuan No.1 semakin hampir -- Nicol anak kelahiran P. Pinang tawan Terbuka Carol Weymuller, AS
AKSI bertenaga pemain nombor tiga dunia, Nicol David (depan) ketika membalas pukulan lawannya, Natalie Grinham yang juga pemain nombor empat dunia pada perlawanan akhir Skuasy Terbuka Carol Meymuller di Brooklyn, New York, semalam. Nicol muncul juara selepas menang 5-9, 9-6, 9-4, 9-3.

NEW YORK - Ratu skuasy negara, Nicol David merangkul kemenangan kali kedua berturut-turut di peringkat antarabangsa apabila menjuarai Terbuka Carol Weymuller di Brooklyn di sini selepas menewaskan pemain Australia, Natalie Grinham pada perlawanan akhir semalam.

Ia juga adalah kemenangan kali ketujuh buat pemain berusia 22 tahun itu dalam pertandingan profesional sepanjang tahun ini.

Nicol, yang menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai Terbuka Britain minggu lepas, menang 5-9, 9-6, 9-4, 9-3 ke atas Grinham.

Perlawanan akhir itu juga adalah ulangan pertemuan antara dua pemain itu pada aksi akhir Terbuka Britain minggu lepas.

Ia juga merupakan kejayaan kali kelapan buat Nicol di pentas antarabangsa sepanjang kariernya.

Kemenangan pemain berusia 22 tahun itu juga sekali gus mengesahkan bahawa kejayaannya mengalahkan Grinham pada Terbuka Britain bukan kerana nasib.

Walaupun Grinham, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, bermain cemerlang termasuk menyingkir pemain terbaik sebelum ke akhir di Brooklyn, dia nyata gagal memberi tekanan kepada Nicol yang nampak lebih yakin.

Nicol yang diletakkan sebagai pilihan kedua, bermain secara agresif untuk memberi tekanan kepada Grinham yang jelas nampak goyah walaupun menang pada set pertama.

Ketepatan pemain nombor tiga dunia itu memukul bola di garisan dinding menjadi faktor utama kejayaannya bangkit pada set kedua dan terus menguasai set berikutnya sehingga set terakhir.

Sebelum ke akhir, Nicol terpaksa berhempas pulas menumpaskan pilihan keempat dari England, Vicky Botwright 5-9, 9-1, 3-9, 9-6, 10-8 pada separuh akhir.

Dua pemain itu juga pernah bertemu pada suku akhir Terbuka Britain yang dimenangi Nicol.

Grinham pula menewaskan pemain Perancis, Isabelle Stoehr yang sebelum ini mengejutkan juara dunia dan pilihan utama dari Belanda, Vanessa Atkinson pada pusingan awal.

Nicol sebelum ini telah menjulang gelaran Terbuka Kuwait, Belanda, Malaysia, Sukan Dunia, Kuala Lumpur dan Britain tahun ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jAz7MuNU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan