ARKIB : 17/10/2005
MANCHESTER, England - Ratu
skuasy negara, Nicol David mencipta sejarah buat kali pertama dalam kariernya
apabila berjaya menyingkirkan pemain pilihan pertama, Rachel Grinham dari
Australia untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka
Britain, semalam.
Pada perlawanan semalam yang
dianggap ulangan kepada pertemuan kedua-duanya pada Kejohanan Terbuka Malaysia
tahun ini yang mana Nicol muncul juara, ratu skuasy negara itu menang 3-9, 9-7,
7-9, 9-4, 9-1 untuk menewaskan jaguh Australia itu.
Menanti Nicol pada perlawanan
akhir hari ini ialah pemenang antara Natalie Grinham yang juga pilihan keempat
dengan Tania Bailey selaku pilihan kelapan dalam satu lagi perlawanan separuh
akhir.
Nicol, 23, pemain nombor tiga
dunia dipaksa bangkit daripada ketinggalan 3-9 pada set pertama sebelum menang
9-7 pada set kedua.
Nicol kelihatan hilang kawalan
bola apabila lawannya itu ternyata menguasai keseluruhan gelanggang dengan
baik.
Juara Terbuka Kuwait, Belanda,
Kuala Lumpur, Sukan Dunia dan Terbuka Malaysia 2005 itu kembali membuka harapan
apabila pantas menyamakan kedudukan dengan kemenangan 9-4 ke atas lawan dan
memastikan tempat di perlawanan akhir apabila mengungguli penentuan dengan 9-1.
Pada peringkat suku akhir
kelmarin, Nicol, 23, mengecewakan pemain harapan tuan rumah, Vicky Botwright
8-10, 7-9, 9-1, 9-1, 9-2.
``Rachel bermula baik, dia
mengawal keseluruhan gelanggang dan saya sering terperangkap dengan taktik
permainannya.
``Saya menyedari perlunya
membawa dia (Rachel) mengikut rentak saya namun, keadaan pada waktu itu begitu
sukar.
``Namun, keadaan berubah tidak
lama kemudian apabila saya menyedari Rachel mula hilang kawalan dan saya
mengambil kesempatan itu untuk menambah mata malah keyakinan saya terus
bertambah.
``Buat masa ini saya tidak
dapat membayangkan pada perlawanan akhir kerana saya masih memikirkan bagaimana
mahu mengekalkan prestasi seperti hari ini,'' katanya.
Dalam satu lagi perlawanan
separuh akhir lelaki melibatkan Nicol dari England menentang Jonathan Power
dari Kanada.
Nicol terdahulu mengejutkan
pemain nombor satu dunia, Thierry Lincou dari Perancis 11-6, 8-11, 11-7, 11-7.
Cabaran pemain lelaki negara,
Ong Beng Hee yang turut diletakkan dalam kelompok empat pemain terbaik buat
kali pertama tidak kesampaian apabila tewas 2-11, 8-11, 5-11 kepada pilihan
keenam, Anthony Ricketts dari Australia.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j7RbzLZ6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan