ARKIB : 31/07/2006
Ads by Kiosked
Nicol pertahan gelaran
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Nicol David (kanan) dan Andrian
Grant bersama trofi kemenangan selepas muncul juara acara perseorangan wanita
dan lelaki Terbuka Malaysia 2006 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala
Lumpur, semalam. Gambar ABD. RAHMAN SALEH.
KUALA LUMPUR Nicol Ann David
melengkapkan kepulangannya ke takhta pemain wanita dunia dengan kejayaan
mempertahankan kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia setelah menewaskan Tania
Bailey, semalam.
Ratu skuasy Malaysia itu
mengatasi lawan dari England 9-4, 9-6, 2-9, 5-9, 9-3 pada perlawanan akhir yang
memakan masa sejam setengah di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, yang
disaksikan oleh kira-kira 1,000 penonton.
Nicol turut muncul pemain
kelima memenangi kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$58,750
(RM215,406) berturut-turut selepas menjadi anak watan pertama meraihnya pada
tahun lalu.
Mereka yang pernah memenangi
kejohanan yang diasaskan pada 1975 ini lebih daripada sekali ialah Annette
Andrews dan Sue Patton dari Singapura selain dua pemain Australia, Michelle
Martin dan Sarah Fitz-Gerald.
Nicol, 22, yang juga pilihan
kedua kejohanan, turut menemui semula sentuhan sebagai juara yang hilang
seketika sejak gagal menjuarai Terbuka Apawamis dan Terbuka Kuala Lumpur serta
kempunan pingat Sukan Komanwel dari Februari hingga Mac lalu.
Buktinya ialah dia tidak pernah
melepaskan walau satu set pun sehingga perlawanan akhir semalam malah nyaris
meratah mudah Bailey selepas dua set pertama dengan corak permainan pintar,
mengelirukan dan kemas.
Set pertama menyaksikan Nicol
mendahului 3-0, 7-1 tetapi terpaku seketika dan bertukar servis beberapa kali
pada kedudukan 7-3 sebelum pukulan kilasnya yang deras tidak terjawab lawan
untuk menang 9-4.
Pemain kelahiran Pulau Pinang
ini terus menguasai set kedua dengan pukulan jarak jauh pula membawanya dengan
4-2 dan 5-3 tetapi sedikit kegagalannya membolehkan Bailey, pemain nombor
sembilan dunia mengikat 6-6.
Satu pukulan kilasan jauh ke
belakang oleh Nicol tidak memberikan ruang lagi kepada lawan yang mencipta
kejutan menewaskan pilihan utama, Vanessa Atkinson dan Natalie Grinham sebelum
ini, untuk menang 9-6.
Dengan hanya satu set lagi,
Nicol tiba-tiba merudum malah beberapa kali hilang tumpuan dan agak berang
dengan persembahannya sendiri sehingga ketinggalan 1-4, 2-5 dan kalah 2-9 pada
set ketiga.
Set keempat juga mempamerkan
permainan Nicol yang serba tidak menjadi selepas terikat 2-2 dengan Bailey
melangkah selesa untuk mendahului
5-2, 6-4 dan menang 9-5
sekalipun sempat bangkit dan mencuri satu dua mata.
Bagaimanapun rentak permainan
set kelima terus dikuasai Nicol dengan pukulan tinggi dan jarak dekatnya
beberapa memerangkap dan memaksa Bailey membuat kesilapan lalu memberikan mata
mudah dari 6-2, 8-3 dan menang 9-3.
Kata Nicol, saya tidak kisah
tentang kejayaan merampas semula ranking utama. Yang penting, saya hanya
tumpukan permainan dan menang. Terima kasih kepada penonton yang seperti
membekalkan tenaga kepada saya.
Tania bermain dengan baik dan
memang seorang lawan yang berbaloi serta mampu bermain dengan berkesan terutama
dalam set ketiga dan kempat, katanya yang akan menyertai Terbuka Pulau Pinang,
bulan depan.
Tania yang akan menyertai
Terbuka Britain selepas ini, berkata, saya sudah cuba habis-habisan tetapi
masih gagal mengatasinya. Saya tetap gembira kerana dapat mara sejauh ini dalam
sebuah kejohanan besar yang jarang diperoleh.
Sementara itu, pilihan ketiga
kejohanan dan pemain nombor 16 dunia, Adrian Grant dari England muncul juara
bahagian lelaki dengan menewaskan Cameron Pilley dari Australia 7-11, 11-3,
11-6, 11-3 dalam perlawanan terdahulu.
Selaku juara, Nicol membawa
pulang trofi dan ganjaran bernilai AS$6,650 (RM24,382), Tania dengan AS$4,725
(RM17,324) manakala Grant dan Pilley masing-masing memenangi AS$4,512
(RM16,543) dan AS$3,087 (RM11,318).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lNwAvfKD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan