ARKIB : 30/10/2005
NICOL David melangkah ke
separuh akhir skuasy Terbuka Carol Weymuller di New York selepas menewaskan
pemain New Zealand, Shelly Kitchen pada aksi suku akhir semalam.
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Nicol David meneruskan kemaraan untuk memburu kejuaraan antarabangsa
ketujuh tahun ini dengan melangkah ke separuh akhir Terbuka Carol Weymuller di
New York, semalam.
Nicol, 22, yang masih segar
dengan kejayaan menjuarai pertandingan prestij, Terbuka Britain minggu lalu
bangkit daripada ketinggalan sebelum menyingkirkan pilihan keenam, Shelly
Kitchen dari New Zealand 7-9, 9-6, 9-5, 9-5.
Menantinya di separuh akhir
hari ini adalah pilihan keempat, Vicky Botwright dari England yang mara selepas
menewaskan rakan senegaranya, Alison Waters 9-7, 9-4, 9-5.
Satu lagi separuh akhir
menemukan pilihan pertama dan pemain nombor dua dunia, Vanessa Atkinson dari
Belanda menentang pilihan ketiga, Natalie Grinham dari Australia.
Nicol, pemain nombor tiga dunia
sudah memiliki enam koleksi gelaran sepanjang 2005, lima daripadanya kejohanan
sirkit Wispa (Persatuan Pemain Wanita Antarabangsa) iaitu Terbuka Kuwait,
Belanda, Kuala Lumpur, Malaysia serta Britain.
Satu lagi kejuaraan yang amat
membanggakan, tetapi bukan diiktiraf oleh Wispa adalah Sukan Dunia di Jerman,
Julai lalu.
Sementara itu dalam
perkembangan berkaitan, cabaran Malaysia pada Kejohanan Terbuka Motor City di
Detroit, Amerika Syarikat berakhir dengan kekalahan Ong Beng Hee di suku akhir
semalam.
Beng Hee, pilihan ketujuh
kejohanan terpaksa akur kepada pilihan pertama, Jonathan Power dari Kanada
7-11, 3-11, 7-11.
Kekalahan Beng Hee ini pasti
memberi kelebihan psikologi buat Power yang akan menentang pemain negara itu
pada pusingan pembukaan Terbuka Dunia di Hong Kong, bulan depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jAqKf1TB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan