ARKIB : 24/12/2005
NICOL ANN DAVID.
KUALA LUMPUR - Nicol Ann David
terus menerima penghormatan menjelang hari dia ditabalkan secara rasmi sebagai
pemain nombor satu dunia apabila dipilih sebagai Pemain Terbaik WISPA 2005
kelmarin.
Penghormatan antarabangsa itu
hadir selepas pelbagai anugerah dan penghormatan diterimanya di dalam negara
berikutan kejayaan ratu skuasy berusia 22 tahun itu merangkul gelaran Terbuka
Dunia di Hong Kong awal bulan ini.
Ia boleh dianggap sebagai
hadiah istimewa Hari Natal buat Nicol, sembilan hari sebelum tahun 2005
melabuhkan tirainya.
Nicol, yang akan menjadi pemain
nombor satu dunia secara rasmi pada Januari depan, telah mendapat majoriti
besar undi daripada ahli-ahli dalam Persatuan Pemain-pemain Skuasy Wanita
Antarabangsa (WISPA) berikutan kejayaannya di Hong Kong dan sebelum itu di
Terbuka Britain yang merupakan kejohanan paling prestij.
``Ia adalah kejayaan yang tidak
terbatas buat Nicol, yang memenangi enam gelaran WISPA - serta pingat emas
Sukan Dunia di Jerman - sebelum meraih gelaran Terbuka Dunia di Hong Kong pada
awal bulan ini,'' kata Ketua Eksekutif WISPA, Andrew Shelley, yang dipetik
daripada laman web rasmi persatuan itu www.wispa.net, semalam.
``Nicol David telah melangkaui
populariti yang biasanya diperoleh pemain-pemain skuasy di negara mereka dengan
kejayaan yang begitu besar.
``Dia telah menjadi berita
utama di muka depan dan belakang akhbar-akhbar Malaysia sepanjang bulan lepas,
malah Perdana Menteri Malaysia sendiri telah berkata bahawa Nicol kini `lebih
terkenal berbanding saya'!'', katanya lagi.
Sementara itu, Nicol yang
dihubungi di kediamannya di Pulau Pinang, berkata, anugerah dan penghormatan
ini merupakan detik paling manis bagi menamatkan 2005 dengan satu lagi
pencapaian yang diiktiraf.
``Saya hanya mampu mengucapkan
terima kasih di atas semuanya. Saya sungguh berbesar hati kerana terpilih
sebagai Pemain Terbaik WISPA,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWdq1TCE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan