ARKIB : 24/02/2006
KUALA LUMPUR - Malaysia menyapu
bersih dua gelaran individu apabila pemain skuasy nombor satu dunia, Nicol Ann David
dan Ong Beng Hee menepati ramalan dinobatkan selaku juara di Kejohanan Skuasy
Asia ke-13 di Taipei Arena, semalam.
Kemenangan bergaya Nicol itu
adalah buat kali kelima dalam Kejuaraan Asia manakala Beng Hee pula mencipta
kejayaan berganda merangkul gelaran keempatnya.
Nicol tidak menghadapi sebarang
tentangan sengit untuk bergelar juara apabila mudah menjinakkan pemain Hong
Kong, Rebecca Chiu dalam perlawanan akhir.
Kemenangan 9-7, 9-3 dan 9-4
dalam tempoh 29 minit membuktikan Chiu yang juga bekas juara Asia bukanlah
lawan sebenar buat Nicol selaku juara dunia.
Keadaan cuaca sejuk dan lembab
sedikit menjejaskan rentak permainan awal Nicol ketinggalan 0-7 pada satu
ketika tetapi bangkit untuk mencatat kemenangan.
``Saya akur terpaksa bermain
lebih baik untuk mengatasi lawan,'' ujar Nicol.
Selepas itu Nicol terus bangkit
dan tidak membiarkan Chiu mendahului kembali untuk mudah bergelar juara.
Chiu pula berkata, Nicol
semakin menunjukkan peningkatan dan cukup pantas apabila berada di hadapan
gelanggang.
``Lain kali saya kena bermain
lebih daripada 200 peratus dan lebih banyak bertenang,'' ujar Chiu lagi.
Sementara itu, bagi kategori
individu lelaki yang sudah sah menjadi milik Malaysia apabila dua pemain mara
ke perlawanan akhir tetapi gelaran juara berpihak kepada Beng Hee.
Mohd Azlan Iskandar, 23, yang
turun selaku pilihan pertama nyata tidak mampu menandingi kehebatan Beng Hee
selaku pilihan kedua untuk muncul juara.
Beng Hee, 26, menang mudah 9-2,
9-4 dan 10-8 dalam tempoh 35 minit.
Kemenangan mudah dirintis oleh
Beng Hee selepas Mohd. Azlan sering melakukan kesilapan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kn6Ed4iz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan